Malaysiakini
BERITA

Tindakan Hishammuddin guna isu Filipina tuntut Sabah 'amat menjijikkan' - Chin Tong

Diterbitkan
Dikemaskini Hari ini 12:11 tengahari

Liew Chin Tong berkata, tindakan Menteri Luar Hishammuddin Hussein menggunakan isu tuntutan senator Filipina ke atas Sabah sebagai bahan politik ketika ini adalah "amat menjijikkan".

Kata Liew menteri terbabit bertindak begitu kononnya untuk menunjukkan ketegasan dan pada masa sama memberikan gambaran Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, berlembut kepada Manila.

Kata senator DAP itu lagi, dengan membuat pelbagai tuduhan palsu dalam isu berkenaan serta menjadikan dasar negara dalam hal ehwal antarabangsa sebagai bahan kempen menghadapi Warisan di Sabah, Hishammuddin patut meletakkan jawatannya.

"Negara memerlukan pemimpin yang jujur serta matang, tidak berbohong atau memutar belit kata-kata.

"Malaysia tidak memerlukan menteri luar yang mempergunakan isu antarabangsa - yang sepatutnya menjadi isu bipartisan - untuk faedah politik segera.

"Tindakan Hishammuddin sangat tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Sept lalu media melaporkan Kementerian Luar Filipina bercadang membuka semula jabatan khas untuk menggerakkan usaha mendapatkan Sabah daripada Malaysia.

Menurut Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr, pejabat khas itu berada di bawah tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Luar.

Sudah selesai lama dulu

Katanya dalam jabatan berkenaan ada biro dikenali sebagai Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara yang memfokuskan tumpuan kepada isu Sabah.

Pada 6 Sept pula seorang lagi senator DAP, Adrian Lasimbang, menggesa Dewan Negara membahaskan tuntutan terbaru Filipina terhadap Sabah yang dianggap provokatif dan mengancam kedaulatan negara. 

Terdahulu pada akhir Ogos lalu Mohd Shafie meminta Putrajaya bersikap keras untuk menghadapi tuntutan berkenaan termasuk menggesa Wisma Putra memanggil duta Filipina di Kuala Lumpur dan memberikan amaran kepadanya.

"Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama," katanya.

Menurut Mohd Shafie, rakyat Sabah dijanjikan keamanan dan perlindungan ketika bergabung dengan Persekutuan Malaysia pada 1963. 

Bekas perdana menteri, Najib Razak juga turut sama mengulas isu berkenaan.

Ahli parlimen Pekan berpendapat, permintaan Mohd Shafie itu sebagai seolah-olah mengiktiraf tuntutan dibuat Filipina.

Kata Najib, Mohd Shafie melakukan kesilapan besar yang akan memberi masalah berpanjangan kepada Sabah dan Malaysia. 

Semalam, Hishammuddin berkata kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina kerana melihat ia sebagai tidak berasas dan relevan.

“Tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka.

“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia mengakui tuntutan tersebut mempunyai asas. Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?” katanya di Facebook semalam. 

Liew berkata semasa usul Adrian dibahaskan wakil Warisan dan Pakatan Harapan dan menolak sebarang tuntutan Filipina.

"Saya bangun menyokong Adrian dengan mengemukakan suatu pendirian dwipartisan bahawa penting bagi Malaysia dan Filipina kembali kepada persefahaman asal yang dicapai di antara Presiden Fidel Ramos dan Dr Mahathir Mohamad pada 1993, iaitu supaya Sabah tidak menjadi rebutan antara kedua-dua negara.

"Pendirian ini dicerminkan dalam undang-undang Filipina sendiri apabila Presiden Gloria Macapagal Arroyo dan Kongres negara itu meminda undang-undang mendefinisikan garis sempadan kepulauan Filipina dengan membuang rujukan terhadap Sabah atau Borneo Utara para 2009," katanya.

Menurut Liew lagi Malaysia dan Filipina sedang bersama-sama berdepan cabaran geopolitik di Laut China Selatan. Justeru kedua-dua negara harus bekerjasama bagi menghadapi masalah-masalah berkenaan.

"Tidak sesuai bagi mana-mana pihak di Filipina untuk menggunakan isu Sabah sebagai 'mata wang politik' demi mendapatkan populariti tempatan dan mengalihkan tumpuan pengundi daripada isu-isu sebenar yang dihadapi negara di Laut China Selatan," katanya.

Di Dewan Negara, kata Liew, Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar memaklumkan tuntutan yang dibuat di Filipina itu bukanlah keputusan kerajaan Presiden Duterte, sebaliknya senator-senator negara tersebut melalui Jawankhasa Hal Ehwal Antarabangsa Senat mereka.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.