Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Penolakan total dan ‘ultimate’ terhadap Dr M?

Bagi saya yang sudah agak biasa juga bertemu dan berbual dengan beliau dalam tempoh-tempoh sebelum PRU14, Husam Musa adalah seorang pemimpin politik yang agak menarik orangnya dengan sikap yang agak terkehadapan dan suka berterus-terang.

Saya masih ingat lagi sewaktu saya singgah beraya di rumah beliau pada 25 Jun 2017, Husam Musa secara selamba menyebut di depan saya bahawa Amanah akan kalah di ketiga-tiga kerusi DUN di Kubang Kerian di dalam PRU14 dan ini ternyata berlaku kemudiannya.

Pandangan agak terkehadapan dan suka berterus-terang Husam Musa, yang kadang-kadang memberikannya masalah ini, bukan sahaja berlaku di peringkat negeri malah di peringkat pusat juga dengan beberapa tindakannya yang mendahului pemimpin politik lain.

Dalam isu pencalonan perdana menteri Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU14 umpamanya, Husam Musa pernah menyebut pada 12 Julai 2019 bahawa “Saya yang pertama mencadangkan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri PH” dan “Saya dikritik oleh banyak pihak kerana(nya)”.

Memang ada laporan berita bertarikh 21 Mei 2017 bertajuk “Husam cadang Mahathir calon PM” yang memuatkan rayuan Husam Musa supaya rakan-rakan beliau dalam PH menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika PH menang dalam PRU14.

Kata Husam Musa waktu itu, disebabkan Anwar Ibrahim masih dalam penjara, mana-mana nama baru sebagai calon akan menyebabkan ada pihak yang tidak puas hati, sebab itulah nama Dr Mahathir (“reborn Mahathir”) perlu diangkat sebagai calon perdana menteri PH.

Selain itu, saya juga mengetahui kerja buat Husam Musa dalam mengangkat imej Dr Mahathir ini dengan antara lainnya mengatur majlis dialog antara Dr Mahathir dengan cendekiawan Melayu di atas tajuk “Halatuju politik Melayu” di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada 25 Julai 2017.

Sebab itulah bila Husam Musa kini menyebut “kedudukan Dr Mahathir di mata sebahagian besar rakyat adalah kehilangan kepercayaan yang teruk, yang merudum, dipanggil sebagai ‘lost of trust’ ataupun kehilangan kepercayaan maka impaknya adalah besar.

Malah, Husam Musa juga menyebut 13 kerusi parlimen yang dimenangi oleh Bersatu dalam PRU14 tidak wajar diberikan kepada Pejuang kerana “kalau kita bagi 13 kerusi ini kepada Pejuang ia boleh menggagalkan hasrat kita untuk ambil balik kuasa”.

Tambah Husam Musa: “Terukkah saya kata macam tu? Saya suka macam ini, saya suka berterus-terang dan dalam hal ini kita kena praktikal, walaupun kita hormat Dr Mahathir tapi saya kira rakyat Malaysia hendakkan satu set pemimpin yang mewarisi era yang baru.”

Bila Dr Mahathir kini ditolak secara total oleh pemimpin politik yang mula-mula sekali mencadangkan nama beliau sebagai calon perdana menteri PH maka penolakan ini adalah satu penolakan ultimate yang pastinya akan meruntuhkan kedudukan beliau dan Pejuang.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan dan penjelasan lanjut Husam berkaitan kenyataannya yang dipetik dalam artikel ini. - Editor

Lihat Komen
ADS