Malaysiakini
BERITA

Ahli MT Umno disyaki positif Covid-19, dikuarantin di Sabah

Zikri Kamarulzaman

Diterbitkan

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, dilaporkan dijangkiti Covid-19 selepas berkempen di Sabah. Ketika dihubungi Malaysiakini, Razlan mengakui spekulasi tersebut.

Bagaimanapun kata Razlan, dia sedang menunggu keputusan ujian lanjut saringannya dan berharap keputusan yang negatif.

“Pertamanya RTK (ujian rapid test kit), sekarang tengah tunggu RT-PCR (polymerase chain reaction).

"Keputusan akan keluar hari ini atau esok,” katanya.

Razlan dilaporkan sedang berkempen di Sipitang sewaktu disahkan positif.

Dia kini dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Kinabalu.

Sementara itu Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin semalam berkata kes membabitkan Razlan itu hanya kes yang disyaki dan belum disahkan lagi.

"Tetapi dia (Razlan) telah diarahkan untuk dikuarantin 14 hari,” kata Bung kepada pemberita di Tawau.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata RTK yang digunakan kementerian mempunyai kadar ketepatan 85 peratus, dan kadar kekhususan 100 peratus.

“Ini bermaksud dari 100 orang yang diuji, hanya 10 dari mereka mungkin akan mendapat keputusan negatif palsu. Ini kelemahan kit tersebut,” katanya.

Tidak jelas jika RTK boleh mengeluarkan keputusan negatif.

  • Laporan tambahan oleh M Fakhrull Halim.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.