Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Penulis janjikan 7 Hari Mencintaiku 3 lebih mencabar, tak klise

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Sep 2020, 7:39 pagi

Susulan sambutan luar biasa diraih naskhah 7 Hari Mencintaiku 2 (7HM2) yang melabuhkan tirainya 17 Ogos lalu, drama televisyen itu dijangka menemui penonton untuk musim ketiga pada tahun depan.

Menurut penulis Siti Rosmizah yang juga seorang peguam, karyanya itu masih mendapat permintaan stesen TV3 kerana ia dekat dengan kisah realiti berdasarkan kes-kes dikendalikannya sebelum ini.

Justeru, ia tidak menjadi masalah untuk drama berkenaan sekali lagi mendapat tempat di hati peminat, katanya.

“Kejayaan dua karya saya sudah dijangka kerana melihat pada jualan novel ini yang begitu laris jadi secara dasarnya peminat-peminat novel ini telah pun sedia ada.

“Bahkan, melalui hasil perbincangan, TV3 memaklumkan pihak mereka masih inginkan karya seperti ini kerana ia diilhamkan bersumberkan kes-kes sebenar yang saya kendalikan dan kemudian diketengahkan dalam kisah berpaksikan masyarakat," katanya ketika ditemui di majlis Thank You Party 7HM2 di The Linc, Kuala Lumpur semalam.

Drama televisyen 7 Hari Mencintaiku 2 diadaptasi daripada novel bertajuk sama yang diterbitkan pada 2011.

Musim kedua drama itu yang mula bersiaran pada 2 Julai lalu berjaya mencipta fenomena dengan 12 juta penonton sepanjang 33 episodnya.

Malah naskhah yang menggandingkan dua pelakon shukri Yahya dan Siti Saleha bagi menjayakan watak utama Khuzairi dan Mia Adriana berjaya mendapat lima juta tontonan untuk episod akhir.

Setiap kali bersiaran, 7HM2 akan hangat diperkatakan di media sosial terutama mengenai kebaikan watak Khuzairi sebagai suami, dan kebencian warganet terhadap watak Nurul Ain (Wafariena Roslan) dan Mak Leha (Liza Abdullah).

Ia turut dibintangi oleh Wan Sharmila, Jaja Ilyes, Faye Kusairi, Syazwan Zulkifly, Bil Azali, Jasmin Hamid dan Kazar Saisi.

Siti Rosmizah turut menyimpan harapan agar sambutan terhadap 7 Hari Mencintaiku 3 nanti akan dapat mengatasi fenomena dicipta 7HM2 sebelum ini.

“Kami berharap karya ketiga juga akan menjadi fenomena bahkan ia mampu meraih jumlah tontonan sepanjang episod yang melebihi angka 12 juta dicatatkan 7HM2,” katanya.

Siti Rosmizah turut membayangkan musim ketiga drama itu - yang dijangka menemui penonton pada November tahun depan - akan memaparkan penceritaan lebih mencabar selain di luar jangka.

“Kepada pelakon 7 Hari Mencintaiku 3, mereka akan berdepan tugas lebih mencabar kerana watak mereka kali ni tak mudah.

“Sudah tak ada kisah bergaduh antara menantu dengan mak mentua lagi, tak ada babak klise kerana yang akan ada adalah penceritaan di luar jangka dan setiap pasangan ada permasalahan sendiri,” katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan