Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP BN sokong Anwar: Itu pandangan peribadi Zahid, kata Azmin

Azmin Ali menyifatkan kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa ramai ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, hanyalah pandangan peribadinya.

Menurut Azmin yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, beberapa pemimpin BN telah menyatakan sokongan Umno masih terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Itu pandangan peribadi beliaulah. Kita lihat ada kenyataan pemipin-pemimpin tertinggi BN yang menyatakan dengan tegas bahawa Umno kekal bersama PN...Kerana ini sebuah kerajaan yang telah terbukti dalam tempoh begitu singkat melaksanakan beberapa inisiatif yang akhirnya mendapat pengiktiraafan dunia.

"Saya percaya semua pihak dapat melihat perkara ini, kecuali satu dua watak (ahli politik) yang terlalu rakus dan gila kuasa,” katanya kepada pemberita dalam Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama PN di Merotai.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa parti tidak boleh menghalang mana-mana ahli parlimennya daripada menyokong Anwar yang berhasrat mangadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya semalam, Zahid yang juga pengerusi BN juga mengakui dia dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan dia menghormati pendirian mereka.

Kenyataan Zahid hadir selepas Anwar mengadakan sidang media semalam bagi mengumumkan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan sokongan yang “kukuh”, “meyakinkan” dan “jauh daripada majoriti kecil”.

Dia juga mendakwa mempunyai "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikannya.

Azmin turut menepis soalan pemberita berkenaan kemungkinan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang “sangat jauh”.

Katanya, ia bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan memiliki sokongan majoriti.

Dia juga mendakwa terdapat pihak dalam PH sendiri yang mempertikaikan kenyataan Anwar kerana "kenal dengan watak Anwar Ibrahim".

Ketika ditanya tentang keyakinan Anwar berhubung majoriti besar yang didakwa dimilikinya, Azmin berkata: “Jangan tanya saya. Saya pun tak tahu daripada mana dia nak kutip (sokongan). Dari tepi jalan, tak tahulah."

'Jalani boleh telefon Muhyiddin'

Terdahulu Azmin dalam ucapannya menempelak Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang menurutnya mempermainkan sentimen anti-Malaya menerusi slogan “Sabah for Sabahan” (Sabah untuk orang Sabah) dengan menyeru pengundi menolak parti dari semenanjung.

Sedangkan, katanya lagi, Shafie sendiri bekas naib presiden Umno dan malah tiga pemimpin Warisan mendapat tempat sebagai menteri persekutuan semasa era PH.

Berkempen untuk calon Bersatu bagi DUN Merotai Mohamad Jalani Chachu, Azmin mengingatkan pengundi untuk memilih Jalani yang disifatkan seperti wakil perdana menteri di Merotai untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Kalau tuan-tuan ada masalah...dia (Jalani) boleh angkat angkat telefon (dan kata) ‘Tan Sri (Muhyiddin) , kita perlu beberapa projek infrastruktur di Merotai. Insya-Allah, perdana menteri pasti akan memberikan kebenaran,” katanya.

Ketika hari mengundi kurang dua hari lagi, Azmin turut meminta hadirin agar menghubungi 100 kenalan mereka dan merayu untuk menyokong Perikatan Nasional.

“Kalau seorang dapat hubungi 100 kenalan, inilah cara untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan sebuah kerajaan baru di negeri Sabah.

“Hubungi mereka, jelaskan dan rayu kepada mereka, supaya pada 26 hari bulan ini, kita bentuk kerajaan baru PN dan BN di Sabah”.

Azmin turut membangkitkan kenyataan bekas menteri Warisan, Mohamaddin Ketapi berkaitan insiden pencerobohan di Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 2013 agar pengundi menolak parti itu dalam PRN kali ini.

“Warisan celupar dan kurang ajar, menghina pasukan keselamatan negara kita. Kita bertanggungjawab sebagai rakyat negeri Sabah, buktikan jangan pijak maruah kita sebagai rakyat Sabah," katanya lagi.

Sebelum ini, Mohammadin mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pengorbanan anggota tentera dan polis, membawa kepada kecaman banyak pihak - terutama pembangkang di Sabah ketika kempen - serta laporan polis terhadapnya.

Mohammadin dan Shafie sudah pun memohon maaf atas kenyataan itu. 

Lihat Komen
ADS