Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR cuba heret pakar perlembagaan ke balai polis

Pemuda PKR membuat laporan polis terhadap kenyataan pakar perlembagaan Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa hanya perdana menteri yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mendapati kenyataan profesor itu bahawa hanya PM layak menghadap Agong itu jelas memperlekeh dan memperkecilkan peranan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini menerima majlis untuk menghadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kenyataan profesor memberi gambaran seolah-olah majlis terima menghadap Anwar sebagai tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka, kami AMK meminta pihak polis untuk membuat satu siasatan terhadap profesor tersebut," kata Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban ketika dihubungi Malaysiakini.

Memetik Sinar Harian, Malaysiakini semalam melaporkan Shamrahayu berpendapat hanya perdana menteri layak menghadap Agong bagi menyatakan kedudukan semasa sama ada masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Thiban mendakwa Shamrahayu mengelirukan rakyat.

"Sebagai contoh, ketika krisis politik pada Februari, kesemua ketua parti politik menghadap Seri Paduka Baginda sebelum Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu meletak jawatan.

"Ketika itu profesor ini tidak pun kata ia salah. Tapi, bila Presiden PKR hendak buat perkara sama, cakap langgar perlembagaan.

"Kenyataan dia jelas satu tindakan politik dan sengaja mengelirukan rakyat juga menghina sistem raja berperlembagaan serta kedaulatan negara," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Shamrahayu berkaitan perkembangan itu.

Pada Rabu, Anwar yang juga ketua pembangkang, mengumumkan dia mempunyai sokongan mencukupi di kalangan anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Anggota parlimen Port Dickson diperkenankan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, tetapi majlis berkenaan ditangguhkan susulan kegeringan Al-Sultan Abdullah.

Lihat Komen
ADS