Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datuk Kalimullah Masherul Hassan dan Matthias Chang supaya tidak membuat sebarang kenyataan media terhadap satu sama lain sehinggalah kes saman mereka didengar.

Saman tersebut membabitkan tuntutan RM50 juta oleh Kalimullah dan saman balas sebanyak RM100 juta oleh Chang, berhubung komen yang dikatakan dibuat oleh Chang dalam satu sidang akhbar pada 13 Jun 2006.

Kalimullah (kanan) telah menghantar surat tuntutan kepada Chang (kiri) pada 20 Jun lalu memintanya memohon maaf sepenuhnya terhadap 'siri serangan peribadi' yang didakwa dibuatnya terhadap Kalimullah sewaktu sidang akhbarnya itu.

Apabila Chang tidak menjawabnya, Kalimullah telah memfailkan saman malu sebanyak RM50 juta dan mendapatkan perintah mahkamah terhadap Chang pada 4 Julai lalu.

Arahan hari ini dikeluarkan oleh Hakim Datuk Kang Hwee Gee selepas berbincang selama lebih sejam dalam kamarnya dengan peguam Chang dan Kalimullah, yang juga Timbalan Pengerusi New Straits Times Press Bhd.

Saman balas

Peguam mereka enggan memberitahu mengenai butir-butir perbincangan tersebut. Bagaimanapun, difahamkan pembelaan Chang adalah atas hujah 'justifikasi, komen yang adil serta kepentingan awam'.

Sementara itu, peguam Manjit Singh Saini berkata Chang bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memfailkan saman balas bersama-sama dengan pembelaannya terhadap saman Kalimullah beberapa hari lalu.

Kedua-duanya diarah supaya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap satu sama lain sehinggalah kes saman mereka didengar, yang tarikhnya belum ditetapkan lagi, kata Manjit kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Sejak pertengahan April lalu, Chang secara terbuka menyokong Dr Mahathir untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pembatalan projek jambatan indah, pengeluaran AP serta penjualan MV Agusta Motors.

Kalimullah tidak hadir di mahkamah manakala Chang pula tidak menemui pemberita selepas muncul dari kamar hakim. Terjemahan