Malaysiakini
BERITA

KP SPRM: Kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan makin 'kritikal'

Mohd Afiq Mohd Asri & Mohd Norzaidi Junaidi

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Okt 2020, 7:14 pagi

Kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Ulang Tahun SPRM ke-53, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

“Ia bukan hanya nilai rasuahnya naik malah kualiti projek juga tidak berkualiti. Saya ingin memberi contoh kes terbaru melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak.

"Projek jalan ini dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga menyebabkan jalan terlibat cepat rosak lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Azam berkata pihaknya perlu ada pakar dalam perkara berkenaan dan perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian semula.

Pada awal September lepas, Bernama melaporkan SPRM telah menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima kes ketirisan melibatkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Pendidikan antirasuah murid tahun 5

Sementara itu, mengulas usaha menjadikan negara ini bebas rasuah, Azam berkata SPRM yang telah memasuki usia melebihi lima dekad, menuntut kematangannya dalam semua tindakan sama ada melibatkan penguatkuasaan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat dalam membanteras rasuah.

“Sekarang ini, kita hidup dalam norma baru berhadapan dengan wabak Covid-19 untuk beberapa tahun akan datang dan ia memberi cabaran kepada SPRM untuk mencapai sifar rasuah atau mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

“Sebelum Covid-19, SPRM banyak turun padang beri taklimat dan membuat kempen banteras rasuah kepada masyarakat, namun sejak ada Covid-19, SPRM banyak menggunakan pendekatan video dan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Azam berkata SPRM turut memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks sekolah rendah tahun lima yang akan berkuat kuasa, tahun 2021.

“Selain tindakan pencegahan, pendidikan masyarakat juga merupakan agenda utama SPRM dalam meningkatkan integriti individu terutama melibatkan masa depan sektor awam,” katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.