Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Empat lagi kluster baru dikenal pasti
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 6:37 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Empat lagi kluster baru Covid-19 dikenal pasti iaitu kluster Jalan Meru di Selangor, kluster Joo Hwa di Sabah, kluster Selasih di Putrajaya dan kluster Bah Ketil di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan Meru dikenal pasti di Klang dengan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-11,148) melibatkan lelaki tempatan berumur 30 tahun, yang mula bergejala sejak 24 Sept.

“Beliau dikesan positif pada 29 Sept dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti melibatkan warga tempatan bagi kluster ini.

“Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Berhubung kluster Joo Hwa yang dikenal pasti di Tawau, Dr Noor Hisham berkata kluster itu melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-10,273) seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.

“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 14 Sept dan dikesan positif pada 20 Sept.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat kes positif melibatkan warga tempatan bagi kluster itu dikenal pasti. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata Kluster Selasih, Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dikenal pasti hasil saringan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 Sept dan 24 hingga 27 Sept.

“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 Sept, kes tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 27 Sept dan dikesan positif pada 28 Sept.

“Susulan itu, enam lagi kes positif bagi kluster itu dikenal pasti hasil saringan kontak rapat melibatkan warga tempatan, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, kluster Bah Ketil dikenal pasti di daerah Baling dan Langkawi melibatkan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 Sept, kata Dr Noor Hisham.

“Kes bergejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 Sept dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah.

“Saringan kes indeks dikesan positif pada 28 Sept dan susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan lapan lagi kes positif Covid-19 termasuk tiga warga tempatan bagi kluster itu dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata kes-kes ini telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Langkawi untuk rawatan.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan bagi kluster Joo Hwa, kluster Selasih dan kluster Bah Ketil masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster lain yang merekodkan pertambahan kes iaitu kluster Laut, kluster Benteng LD, kluster Bakau, kluster Sakong dan kluster Bangau-Bangau di Sabah serta kluster Bakawali di Johor dan kluster Tembok di Kedah.

- Bernama


Lihat Komen
ADS