Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kesan algoritma terhadap pengguna media sosial

Semakin hari kita semakin banyak mendengar desas-desus berkenaan isu perkauman.

Antara yang paling popular dijulang ialah bagaimana seseorang dapat menidakkan kewarganegaraan seseorang, hanya kerana dia bukan seorang Melayu.

Ibarat kata, hanya orang Melayu yang layak menjadi warganegara Malaysia.

Malaysia adalah negara yang unik, aman makmur di mata dunia kerana kita mempunyai pelbagai kaum.

Di semenanjung saja kita sudah mempunyai pelbagai kaum yang hidup aman damai tanpa mengira warna kulit mahu pun jantina.

Itu baru sahaja di semenanjung, jika kita menziarahi kepulauan Borneo, hidup dalam kepelbagaian kaum sudah tepu di sana dan kemungkinan mereka tidak boleh disogok dengan isu perkauman.

Frasa “hidup aman damai dengan pelbagai kaum” di Malaysia bagi saya sangat relatif.

Contoh mudah, jika kita bertanya kepada pak cik dan mak cik di kampung yang tidak terdedah dengan media sosial, kemungkinan besar mereka akan beranggapan ia bertepatan dengan frasa tersebut.

Tetapi jika kita tanya kepada ‘penagih’ media sosial, mungkin berbeza jawapannya – mereka akan beranggapan kita ada masalah dalam menghormati antara kaum dan perbezaan lain seperti etnik, budaya, bahkan lagi teruk, tidak menghormati agama orang lain.

Sering saya bercanda dengan sahabat: “Cuba kamu tatap Facebook atau Twitter, lihatlah bagaimana isu ini dibangkitkan oleh netizen, dan kemudian, pergilah ke kedai pak cik Muthu dan lihatlah siapa yang membeli tepung gandum di kedainya”.

Paradoks ini terjadi akibat pengaruh media sosial yang memerangkap cara masyarakat berfikir.

Dalam media sosial, seperti ingin berperang, bersedia berpencak menjulang keris dan tombak, menjadi adiwira papan kekunci bahkan ada yang sanggup menulis dengan niat menyembelih tengkuk kaum lain!

Di media sosial, peranan big data atau algoritma yang dibangunkan oleh sesebuah syarikat bukan bertujuan untuk mereka sarankan kepada kita sesuatu, tetapi mereka hanya menampilkan (kemungkinan iklan dan cadangan) apa yang kita hanya mahu tonton.

Jadi, apabila kita sering kali menulis berkenaan kaum dan ketik butang like dan retweet untuk satu-satu posting yang bersifat kebencian, sememangnya algoritma mereka akan membawa kita ke arah kejahatan.

Skandal Cambridge Analytica

Algoritma ini akan membawa kita ke satu arah yang mereka sendiri dapat meneka dengan tepat kehendak kita, bukannya diri sendiri yang memilih untuk menonton atau melihat apa di media sosial.

Tahun 2018 kita digemparkan dengan skandal Cambridge Analytica yang Facebook dipercayai menjual data 87 juta pengguna untuk tujuan bersifat politik di Amerika Syarikat, yang berkenaan kempen Donald Trump dan Brexit.

Apa yang menarik di sini nama Malaysia dipetik sama dalam sebuah temu bual bersama Cambridge Analytica di YouTube.

Dengan adanya big data ini, maklumat yang kita dapat tidak semestinya sahih dan benar. Daripada itulah bermulanya bibit-bibit kepercayaan tanpa usul periksa.

Ibu-ibu dan bapa-bapa kita di kampung sudah mula menggunakan aplikasi WhatsApp dan setiap pagi dikhabarkan dengan berita-berita tidak benar dan meragukan daripada ‘group sebelah’.

“Cina kuasai Malaysia; Cina tadbir negara; Cina pijak Melayu; Cina mabuk langgar anak Melayu” – konotasi-konotasi ini berbaur negatif dan sangat menjengkelkan apabila dibaca.

Tanpa usul periksa, ibu bapa di kampung dengan segera forward mesej tersebut ke group sebelah dan ia menjadi mesej berantai.

Isunya bukan pada Cina, dan bukan pada kaum lain – tapi isunya pada diri kita. Tiada manusia yang jahat kerana warna kulit atau bangsanya.

Mereka menjadi jahat kerana mereka melakukan kejahatan.

Begitu juga apabila sesuatu kaum yang berbuat baik, tidak boleh kita kaitkan mereka kerana mereka berkulit putih atau sawo matang.

Pemikiran yang sering mengaitkan bangsa dengan sikap ini tercetus apabila kita menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan utama.

Sepatutnya media sosial yang asalnya adalah satu medium penghubung silaturahim, telah menjadi bahan rujukan masyarakat bahkan cerdik pandai sekalipun.

Kajian Massachusetts Institute of Technology (MIT) menyatakan berita palsu (fake news) yang terdapat di Twitter adalah enam kali lebih cepat tersebar berbanding berita benar.

Mungkin kita terfikir “Kenapa mak ayah saya tidak membaca apa yang saya baca di Facebook?

Kenapa kenalan saya di Facebook sering kali menyebarkan berita palsu tanpa usul periksa?

Jawapannya kerana apa yang mereka lihat tidak semestinya apa yang kita lihat.

Algoritma mereka (media sosial) dapat membaca behaviour kita dan sudah menetapkan apa yang kita akan baca pada minit seterusnya.

Masalah ini sangat merunsingkan fikiran para pengamal etika.

Zuckerberg lawan Musk

Bahkan Mark Zuckerberg sendiri tidak bersependapat dengan Elon Musk dalam menyatakan kecanggihan artificial intelligence (AI).

Musk menyatakan bahawa AI akan meruntuhkan peradaban dunia.

Nah, saya sudah beri banyak dapatan daripada pelbagai perspektif di atas, dan masalah ini sangat membimbangkan.

Dengan adanya algoritma sebegini, pelbagai masalah akan timbul.

Kita kembali semula ke perenggan pertama - ketika saya memetik isu perkauman yang menjadi masalah di Malaysia.

Teliti kembali anekdot berkenaan kedai Muthu yang saya coret di atas.

Nah, perasankah kalian bahawa isu ini tercetus daripada media sosial itu sendiri?

Emak ayah kita di kampung enak bertukar juadah dengan etnik dan kaum lain, tetapi kita di dalam Facebook dan Twitter gatal tangan ingin mengetik butang ‘kongsi’ di Facebook dan Twitter.

Kita hidup di zaman berita palsu lebih cepat tersebar. Kita tidak ada masa untuk mencari fakta sebenar kerana sememangnya media sosial tidak dapat menapis atau membezakan kedua-duanya!

Mungkin tiada penyelesaian untuk masalah besar ini. Kita hanya mampu mengambil sikap berhati-hati dalam mempercayai sesuatu berita melalui media sosial.

Kita perlu bezakan antara berita, maklumat, dan ilmu pada era yang penuh muslihat ini.

Jangan kongsi maklumat yang akan mengakibatkan pertembungan tidak sihat antara kaum dan agama – sekalipun kalian menganggap maklumat itu benar.

Lebih baik tidak dikongsi jika kalian akan mengakibatkan keburukan yang lebih besar.

Faktor paling memberi kesan dalam perpecahan kaum dan agama pula ialah bidang politik yang membawa ke arah politik perkauman dan agama.

Pimpinan-pimpinan tertinggi sering memainkan isu ini tidak kira masa atau tempat.

Bahkan kita dapat lihat di pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada ketika ini pun ada ahli politik yang cuba memainkan isu ini untuk memenangi hati rakyat.

Kepulauan Borneo bagi saya sangat unik kerana mereka sudah berasimilasi dengan etnik dan agama yang berbeza sejak awal dan kemungkinan besar isu atau masalah kaum dan agama tidak berjaya di sana.

Politik perkauman bukan sahaja menyebabkan kekacauan pada peringkat parti politik itu sendiri, bahkan ia akan menyerap masuk ke dalam akal dan menjadi ideologi, yang seperti saya tulis di atas – “Cina jahat, Cina nak jatuhkan Melayu, India suka bergaduh”.

Apa kata selepas ini kita cuba berdamai dan ambil jalan tengah (wasatiyyah) dalam menilai seseorang berdasarkan akhlak, bukan berdasarkan kulit.

Kita rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan mengekalkan kebersamaan antara kaum dan agama, lebih-lebih lagi di bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia ini.


Tulisan ini sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) yang bertujuan membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS