Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asyraf gesa 'bakal PM' tangguh hasrat
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 12:32 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Presiden PKR, Anwar Ibrahim menangguhkan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan berikutan penularan wabak Covid-19 yang kembali meningkat baru-baru ini.

"Diharapkan bakal PM dan PH dapat tangguhkan dahulu hasrat untuk menggerakkan agenda menukar kerajaan dan PM yang boleh membawa kepada pembubaran parlimen dan PRU-15.

"Utamakan dahulu keselamatan rakyat yang sedang berhadapan risiko gelombang ke-3 pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Asyraf berkata, Anwar perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Sabah apabila pilihan raya negeri diadakan sehingga mencetuskan penularan wabak.

"Akibat perebutan jawatan ketua menteri, akhirnya membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Sabah," katanya.

PRN Sabah diadakan selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa memperoleh sokongan majoriti Adun untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun, Shafie Apdal yang menyandang jawatan ketua menteri ketika itu menasihati Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya negeri.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mungkin mengalami "gelombang baru" Covid-19 memandangkan jangkitan terus meningkat.

Minggu lalu, Anwar mengumumkan bahawa dia memiliki majoriti yang kukuh untuk menubuhkan kerajaan baru.

Susulan itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu tidak dapat menghalang mana-mana ahli parlimennya daripada menyokong Anwar.

Selain itu terdapat rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno sendiri terhadap Bersatu susulan pilihan raya negeri Sabah.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed semalam mencadangkan agar Umno mengambil keputusan tegas untuk menarik diri daripada PN.

“Ini bukan semangat setiakawan zaman Barisan Nasional (BN), kesepakatan BN ikhlas tetapi PN baru enam bulan sudah tidak boleh dipercayai. 

"Malah, kerajaan (PN) yang dibentuk tidak kuat sebab tidak ada setiakawan, maka lebih baik Umno tarik diri," katanya.

Lihat Komen
ADS