Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Susulan kes meningkat, S'gor sedia ujian saringan percuma
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 11:01 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Kerajaan Selangor mengambil beberapa langkah baru susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, langkah tersebut diputuskan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) hari ini dan mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) semalam.

Antara langkah tersebut adalah ujian saringan terhadap penduduk negeri itu yang kembali dari Sabah antara 20 hingga 26 September.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mula membuat ujian saringan terhadap mereka dari Sabah pada 27 September dan ada kes di mana mereka yang kembali sebelum tarikh itu menunjukkan gejala Covid-19.

Menurut Amirudin, ujian saringan bersasar itu adalah percuma dan boleh dibuat di Klinik Selcare - milik anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd - bermula 4 Oktober ini.

Mereka yang ingin berbuat demikian perlu menunjukkan bukti dokumen perjalanan dari Sabah serta sebagai pemastautin di Selangor.

"Aturan khas turut disediakan untuk saringan dilakukan di dewan orang ramai di daerah Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi yang akan dimuktamadkan kemudian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, waktu operasi restoran berkonsepkan bar di negeri itu juga dihadkan sehingga pukul sebelas malam berkuatkuasa esok.

"Kegagalan pematuhan arahan ini akan membolehkan lesen perniagaan mereka dibatalkan pada kadar serta-merta," katanya lagi.

Empat pusat tahanan sementara pendatang tanpa izin juga akan diwujudkan bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

Persidangan dan perhimpunan ramai juga tidak digalakkan dan had peserta untuk acara seumpama itu adalah 250 orang, katanya.

"Sayugia diingatkan bahawa Selangor pernah mencatatkan nilai kes yang tinggi semasa awal pandemik ini, namun kita berjaya mengawalnya.

"Ini membuktikan bahawa kaedah kita sebelum ini adalah berkesan sekiranya ia disokong penuh oleh masyarakat," katanya lagi.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak dua lagi kluster dikenal pasti di Selangor, iaitu kluster Seri Setia dan kluster Seri Anggerik, dengan kes indeks bagi kedua-duanya melibatkan individu yang baru pulang dari Sabah.

Hari ini sejumlah 31 kes baru dilaporkan di Selangor.

Senarai dan lokasi Klinik Selcare boleh dilihat di bawah:



Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS