Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Selepas PRN Sabah, Umno, DAP bukan lagi 'abang besar'

ULASAN | Pilihan raya Sabah baru-baru ini memberi gambaran bahawa Umno dan DAP tidak lagi mempunyai pengaruh besar dalam menentukan jumlah kerusi yang ditandingi mereka.

Di pihak Warisan Plus, DAP hanya mendapat tujuh kerusi untuk ditandingi daripada 73 kawasan. Enam daripada tujuh kerusi tersebut yang merupakan kawasan bandar berjaya dimenangi calon-calon DAP.

Pesaing utama mereka — MCA dan SAPP hilang deposit di tiga kerusi Dun Likas, Luyang serta Kapayan di Kota Kinabalu Raya.

Di pihak satu lagi, Umno hanya mendapat ‘kuota’ sebanyak 32 kerusi daripada keseluruhan 73 kawasan. Daripada jumlah itu, parti tersebut menang sebanyak 14 kerusi.

Di kawasan bandar, DAP dilihat sebagai parti ‘abang besar’, manakala Umno masih boleh menguasai kerusi-kerusi di kawasan luar bandar.

Mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan kerusi luar bandar sudah “established” dan sinonim dengan Umno manakala kerusi bagi kawasan bandar pula boleh dianggap sebagai kubu kuat DAP.

Di sinilah, dilema bagi kedua-dua parti ini - mempunyai pengaruh kuat di kawasan yang sinonim dengan parti masing-masing, tetapi kini tidak mampu menerajui gabungan masing-masing.

Abang Ngah jadi PM

Secara keseluruhan Umno memiliki 39 kerusi parlimen, berbanding parti serpihannya, Bersatu yang hanya memperoleh 31 kerusi.

Bagaimanapun Umno terpaksa akur untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.

Pada PRN Sabah, Umno menang 14 kerusi tetapi jawatan ketua menteri Sabah juga jatuh di tangan Bersatu yang hanya meraih 11 kerusi.

Bung Moktar Radin kehilangan jawatan 'top dog' itu apabila ia diserahkan kepada bekas Pengerusi Umno Sabah, Hajiji Mohd Noor yang berpaling tadah menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum.

Kekecewaan tersebut digambarkan dalam kenyataan Timbalan Presiden Mohamad Hasan yang mendakwa Umno semakin terpinggir dalam kerjasama dengan Bersatu.

Secara umumnya, akar umbi dan jentera Umno dilihat lebih kuat serta teratur. 

Berbanding Bersatu yang hanya bergantung kepada ahli Parlimen dan Adun yang melompat parti, Umno memenangi kerusinya dengan kekuatan tersendiri.

Namun Umno menghadapi laluan sukar apabila pengaruh rakan-rakan sekutu bukan Melayu/Bumiputera dalam BN semakin merudum sejak PRU 2008. 

Pada masa ini MCA dan MIC hanya menguasai tiga kerusi parlimen.

Kekurangan calon perdana menteri

Dilema yang dihadapi Umno juga dialami oleh DAP. 

Sejak PRU 2008, parti berbilang kaum dan berteraskan bukan Melayu/Bumiputera ini bukan sahaja berjaya menerajui kerajaan Pulau Pinang, malah bangga mengibarkan panji roket di kawasan parlimen majoriti Cina/India dan di kawasan campuran.

Kini, DAP memperolehi 42 kerusi parlimen. Selepas langkah Sheraton, parti itu pada mulanya menaruh harapan terhadap Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri dan sekali gus merampas kembali Putrajaya.

Slogan “I have the number” yang kerap dilaungkan bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. Ternyata nombor yang Anwar dail tidak dapat dihubungi walaupun “strong, formidable, convincing majority” dijanjikan tiga hari sebelum PRN Sabah.

Justeru itu, DAP mencadangkan agar Shafie Apdal diangkat sebagai calon perdana menteri. Tetapi pencaturan tersebut mengalami jalan buntu selepas kegagalan Warisan Plus mempertahankan kerajaan Sabah.

Berdekad-dekad lamanya Umno dan DAP saling memusuhi antara sama lain. Umno dilihat sebagai parti perkauman Melayu manakala DAP sebagai parti chauvinis Cina. Inilah persepsi umum dalam arena politik dan media.

Namun di belakang tirai, Umno dan DAP sebenarnya berkongsi banyak persamaan yang tidak dicungkil oleh para pengamal media mahupun penganalisis politik. 

Memang tidak dinafikan terdapat segelintir pelampau politik sama ada dalam Umno mahupun DAP, namun kedua-dua parti ini memiliki kekuatan tersendiri iaitu pegangan politik yang kuat.

Banyak pelapis, bukan 'one-man show'

Kedua-dua parti ini bukan hanya bergantung kepada kekuatan seseorang pemimpin seperti Pejuang, Bersatu, Warisan mahupun MCA.

Umno ada pemimpin berkaliber seperti Mohamad Hasan, Mohamed Khaled Nordin, Annuar Musa dan Hasni Mohamad. Antara pelapis yang seterusnya adalah Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Noraini Ahmad dan sebagainya.

Bagi DAP pula, barisan pemimpin mudanya terdiri daripada pemimpin seperti Anthony Loke, Liew Chin Tong, Tony Pua malah pelapis seterusnya adalah Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh, Steven Sim, Wong Kah Woh dan sebagainya.

Meskipun kedua-dua parti ini dianggap seteru sejak sekian lama, hakikatnya Umno dan DAP tidak bertanding melawan satu sama lain.

Umno di kawasan Melayu dan campuran yang didominasi kaum Melayu, manakala DAP di kawasan Cina dan India serta kawasan campuran yang didominasi bukan Melayu.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kedua-dua parti ini ada potensi saling melengkapi antara satu sama lain.

Bolehkah Sang Saka Bangsa serta Roket berjabat tangan pada PRU-15? Akan dikupas pada tulisan kedua nanti.


LU WEI HOONG adalah peminat politik tanah air dan bekas wartawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS