Malaysia mencatat kes rekod tertinggi harian Covid-19 selama tiga hari berturut-turut. 

Jumlah jangkitan baru Covid-19 setakat jam 12 tengah hari tadi adalah sebanyak 293 kes, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam 317 kes baru direkod, manakala kelmarin 287 kes baru yang menjadikan rekod kes harian tertinggi sejak wabak melanda negara.

Pertambahan kes baru dikesan mulai naik mendadak pada 1 Oktober apabila terdapat 260 kes baru, kes harian kedua tertinggi sejak 4 Jun lalu yang mencatatkan 277 kes.

Kes baru hari ini menjadikan jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 12,381 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,961 kes.

Sabah menyaksikan 126 kes baru, manakala Kedah pula merekod 113 kes.

Selangor pula menjadi negeri ketiga yang merekodkan pertambahan kes dengan 31 kes baru hari ini.

Daripada 292 kes penularan tempatan, 269 kes melibatkan warganegara dan 23 kes lagi bukan warganegara.

Memperincikan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata di Kedah sebanyak 112 daripada Kluster Tembok yang melibatkan warganegara manakala satu kes daripada Kluster Bah Rose melibatkan warganegara.

"Selangor pula mencatatkan 31 kes dengan 13 kes hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah),13 kes daripada Kluster Jalan Meru dan tiga kes melibatkan Kluster Embun dan dua saringan kontak rapat," katanya.

Johor pula mencatatkan lapan kes dengan enam daripadanya dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) melibatkan warganegara. Satu kes saringan pulang ke negara asal yang melibatkan bukan warganegara dan satu kes saringan pekerjaan yang melibatkan bukan warganegara.

Di Labuan, lima kes dikesan daripada saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) melibatkan warganegara manakala di Kuala Lumpur satu kes daripada Kluster Jalan Meru melibatkan warganegara dan satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.

Negeri Sembilan dan Perak masing-masing mencatatkan dua kes daripada saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara manakala Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak pula masing-masing merekodkan satu kes. 

Sementara itu, sebanyak 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 206 kes," kata Dr Noor Hisham.

Dua kluster baru juga dikesan hari ini, di Sabah dan Selangor.

Beliau juga memaklumkan terdapat 28 pesakit menerima rawatan di ICU dengan empat pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.