Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall di Kuala Lumpur mengesahkan seorang pekerja kepada penyewa mereka telah dijangkiti Covid-19.
Pengurusan dua kompleks membeli belah itu dalam satu kenyataan bersama berkata, individu itu bekerja dengan London Sales Cosmetics Sdn Bhd (LSC).
Menurut mereka, LSC mempunyai tiga kedai dengan nama berbeza di Mid Valley dan The Gardens.
Kedai tersebut ialah Origani dan Elevatione Time Stops di The Gardens dan Surreal by Elevatione Time Stops di Mid Valley.
"Pekerja itu memaklumkan kepada pengurusannya di LSC pada 9 Oktober bahawa seorang ahli keluarganya telah dijangkiti virus.
"Dia segera melakukan kuarantin kendiri dan dia diaturkan untuk membuat ujian Covid-19 dan disahkan positif pada 10 Oktober.
"Dia tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19. Pengurusan Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall dimaklumkan tentang keputusan itu pada 11 Oktober," kata mereka.
Mereka berkata Kementerian Kesihatan telah memulakan pengesanan kontak.
"Proses pembersihan dan nyahjangkitan di tiga kedai di bawah LSC serta kawasan awam di seluruh dua kompleks sedang dilakukan.
"Tiga kedai itu ditutup serta-merta sehinggalah diberitahu kelak.
"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan, penyewa dan pengunjung The Gardens Mall dan Mid Valley Megamall bahawa keselamatan dan kesihatan mereka adalah keutamaan kami," kata mereka.
Mereka juga berkata langkah berjaga-jaga telah dilaksanakan untuk mengekalkan tahap kebersihan tinggi seperti yang disarankan kerajaan.
Semalam, kompleks membeli-belah 1Utama di Petaling Jaya diarahkan tutup selepas terdapat empat kes positif di sana.
Terdahulu hari ini, Bangsar Shopping Centre di Kuala Lumpur turut memaklumkan seorang pekerja kepada penyewanya turut disahkan positif.
Pekerja itu turut bekerja di kedai Origani. Kali terakhir dia datang bekerja adalah pada 6 Oktober.
Pusat membeli-belah itu ditutup lebih awal hari ini untuk kerja pembersihan dan akan meneruskan operasi esok.
