Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO mahu hindar pengkebumian Hindu dari unsur gangsterisme

Sebuah NGO ditubuhkan bagi memantau upacara pengkebumian penganut Hindu di Malaysia agar tidak dicemari dengan unsur gangsterisme.

Dinamakan Persatuan Pengkebumian India Malaysia, ia ingin membantu penganut Hindu untuk mengadakan upacara pengkebumian yang selaras dengan tuntutan agama itu.

Pengerusinya Devman Segar berkata, dia terpanggil untuk menubuhkan NGO itu kerana sedih melihat unsur gangsterisme dalam upacara pengkebumian terutama melibatkan kematian kalangan yang masih muda.

"Sejak kebelakangan ini kita baca banyak laporan bahawa polis mengambil tindakan terhadap upacara itu yang melibatkan unsur gangsterism.

"Selain unsur itu, kita juga lihat kebanyakan mereka (hadirin upacara) membuat perkara seperti main mercun di jalan raya, menghalang lalu lintas dan menuang arak ke atas si mati.

"Ini bukan sahaja menganggu orang lain malah memberi perspektif negatif penganut Hindu kepada masyarakat lain di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Devman, pihaknya sedang merekrut dan mendaftarkan ahli di seluruh Malaysia.

"Kami ingin pantau upacara pengkembumian. Orang awam juga boleh menghubungi kami untuk maklumkan jika melihat unsur tersebut dalam upacara pengkebumian di kawasan mereka," katanya lagi.

'Ikut adat Hindu tempatan'

Devman turut membangkitkan satu lagi perkara yang menurutnya adalah masalah dalam upacara tersebut ialah pengambilan individu dari India untuk mengendalikannya.

"Banyak agensi sediakan pakej dengan individu dari India dalam upacara. Mereka tidak faham adat kita dan upacara dibuat sesuka hati mereka.

"Selepas ini, agensi yang guna warga India akan dilaporkan kepada Jabatan Imigresen kerana Kerajaan tidak memberi kebenaran (permit kerja) kepada mereka untuk membuat upacara pengebumian.

"Mereka datang dengan permit kerja lain dan salahgunakannya. Hanya rakyat Malaysia yang diiktiraf Malaysia Archagar Sangam dibenarkan untuk menjalankan upacara pengebumian," katanya lagi.

Malaysia Archagar Sangam merupakan salah sebuah persatuan yang menyelia sami-sami yang berurusan dengan rumah ibadat Hindu di Malaysia.

Dalam perkara itu, Devman berkata pihaknya akan membuat kerjasama dengan beberapa NGO dan badan berkepentingan agama Hindu di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS