Asas kukuh yang dibina selama bertahun-tahun telah memberikan ketahanan kepada Malaysia untuk mendepani kejutan pandemik Covid-19, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sistem penjagaan kesihatan negara mempamerkan daya tahan dan kekukuhan semasa krisis kesihatan yang kini masih lagi berterusan.

Selain itu, kepelbagai sumber pertumbuhan dan struktur perdagangan luar telah membantu mengurangkan kesan daripada perkembangan semasa dalam dan luar negara manakala kehadiran berterusan pelabur domestik dan institusi serta pasaran kewangan yang kukuh dan cair terus menyokong keadaan pasaran kewangan yang teratur, katanya.

“Kita perlu akui bahawa tidak ada seorang pun daripada kita yang menjangka berlakunya pandemik global ini. Tetapi Alhamdullilah, Malaysia mengharungi pandemik ini dengan kekuatan yang kukuh,” katanya dalam ucapan beliau pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020.

Sidang kemuncak yang bertemakan "Covid-19: Assessing Financial and Economic Impacts and Its Aftermath” (Covid-19: Menilai Impak Kewangan dan Ekonomi dan Kesannya) dianjurkan oleh Institut Strategik Kingsley bagi Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL).

Wahid, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat ECKL berkata, pendekatan pelbagai hala yang diumumkan kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan sektor swasta dalam bertindak balas dengan pantas dan bersepadu telah membantu negara mengharungi dan pulih daripada impak ekonomi akibat daripada pandemik tersebut.

“Petanda nampaknya positif. Petunjuk utama seperti perdagangan borong dan runcit, eksport dan pengeluaran perindustrian, telah meningkat semula dengan ketara sejak ekonomi dibukakan semula pada awal Mei dan bermulanya perintah kawalan pergerakan pemulihan berkuat kuasa dari 10 Jun,” katanya.

Memetik data Jabatan Perangkaan, Wahid berkata, penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada Jun sebanyak 3.2 peratus kurang teruk berbanding penurunan pada April sebanyak 28.6 peratus, manakala prestasi perdagangan luaran secara umumnya telah bertambah baik dan malahan mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun dan Julai, berada pada purata hampir 6.0 peratus.

“Meskipun KDNK 2020 dijangka susut sebanyak -3.5 peratus kepada -5.5 peratus, ramai berpendapat pertumbuhan 2021 akan lebih kukuh, dengan BNM mengunjurkan jajaran antara 5.5 peratus hingga 8.0 peratus, dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan KDNK antara 6.3 peratus dan 6.5 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Wahid percaya kemajuan dan kekuatan pemulihan ekonomi negara masih bergantung kepada beberapa risiko.

Ia termasuklah keadaan ekonomi global yang lemah ketika ini dengan Bank Dunia mengunjurkan penguncupan KDNK 2020 global pada 5.2 peratus manakala penularan Covid-19 terus melonjak dan gelombang jangkitan seterusnya boleh membawa kepada pelaksanaan sekali lagi langkah sekatan pergerakan dan pembendungan lain.

Selain itu, peningkatan semula ketegangan perdagangan antara ekonomi-ekonomi utama boleh menyebabkan gangguan semula kepada perdagangan dan menambahkan lagi cabaran kepada ekonomi global.

Di dalam negara, keadaan pasaran buruh yang lemah boleh menjejaskan penggunaan swasta.

Kadar pengangguran terkini yang berada pada 4.7 peratus pada Julai 2020, walaupun bertambah baik daripada 5.3 peratus pada Mei, masih tetap tinggi.

“Dengan kemelesetan memberikan kesan ketara kepada potensi pengeluaran, pembaharuan yang merangsang prospek pertumbuhan jangka panjang akan menjadi penting,” katanya.

Wahid berkata Kaji Selidik Keyakinan Perniagaan Rating Agency Malaysia menunjukkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro masih memerlukan dasar yang menyokong untuk kekal bertahan kerana mereka terus berdepan dengan cabaran mudah tunai kewangan jangka pendek susulan COVID-19.

Begitu juga, prestasi pendapatan korporat yang lemah sejak kebelakangan ini kini diburukkan lagi dengan impak daripada pandemik tersebut.

Justeru, katanya, pemangkin diperlukan untuk membantu perniagaan bangkit dengan kukuh dan pantas daripada krisis Covid-19 dan bersedia bagi masa depan terutamanya dengan persaingan global yang semakin sengit.

“Tindakan pantas juga diperlukan bagi memastikan syarikat tempatan kekal kompetitif di peringkat serantau dan global dan menjadi pemangkin bagi peralihan Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan tokokan nilai tinggi dan ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

- Bernama