Putrajaya sepatutnya tahu perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) menelan kos yang amat tinggi dari segi ekonomi dan sepatutnya hanya melaksanakan PKP bersasar saja, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ini selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari ini bahawa Putrajaya akan mengenakan PKPB ke seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat.

"Inilah masanya untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk masuk campur dan membawa kewarasan dalam perang melawan Covid-19 ini.

"Beliau perlu mengetahui pendekatan baharu dalam melawan Covid-19, di mana tindakan drakonian seperti PKPB dan sekatan penuh pergerakan ini bertindak dengan terlalu meluas, membawa kos ekonomi yang amat tinggi.

"Dalam hari-hari awal penularan wabak ini, pelaksanaan langkah-langkah drakonian seperti sekatan pergerakan separa ataupun penuh ini boleh diterima memandangkan keutamaan dalam melawan wabak yang masih belum difahami ketika itu adalah untuk menyelamatkan nyawa.

"Malaysia perlu belajar daripada kesilapan kita yang lalu, yang telah datang dengan harga yang tidak ternilai dan mula melaksanakan langkah-langkah sekatan pergerakan yang lebih tersasar dan bukannya melaksanakan PKPB ke atas keseluruhan negeri,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Lim berkata keputusan untuk mengenakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak boleh menjadi satu tindak balas tidak rasional terhadap kritikan mengenai kecuaian gelombang ketiga wabak Covid-19, terutama di Sabah.

"Amatlah tidak bertanggungjawab untuk bereaksi dengan melampau dan menghukum rakyat Selangor, KL, dan Putrajaya kerana memberikan kritikan yang munasabah mengenai pengendalian gelombang ketiga Covid-19 di Sabah," katanya.

Oleh demikian, Lim berkata beliau bersetuju dengan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari yang sebelumnya meminta kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula keputusan untuk mengenakan semula PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengulas pengumuman Ismail, menteri besar Selangor berkata keputusan itu "mengejutkan kerajaan negeri."

Ini kata Amiruddin kerana mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebelum ini memaklumkan hanya beberapa daerah di Lembah Klang mencatatkan sejumlah kes Covid-19 yang membimbangkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.