Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain mempersoalkan keputusan kerajaan negeri melantik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, sebagai jurucakap sementara untuk hal berkaitan Covid-19.

Kata Abdul Aziz, semasa ketiadaan Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor jawatan sepenting itu sepatutnya diberikan mengikut kedudukan dalam kerajaan dan mengutamakan salah seorang timbalan ketua menteri.

“Sepatutnya salah satu dari timbalan menteri atau menteri yang bertanggungjawab dalam urusan kesihatan. Timbalan ketua menteri bukan hanya sekadar jawatan istiadat.

“Timbalan ketua menteri yang seharusnya jadi pengganti jika (ketua menteri) tiada," katanya seperti dipetik portal Malay Mail hari ini.

Tambah Abdul Aziz, semua orang tahu ada tiga timbalan ketua menteri untuk Sabah dan seorang daripada mereka boleh dilantik untuk menjalankan tugas sebagai jurucakap sementara untuk isu Covid-19.

Justeru kata Abdul Aziz keadaan itu harus dibetulkan untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai.

Untuk rekod kabinet Sabah yang dibentuk Hajiji selepas pilihan raya negeri itu akhir Sept lalu tidak menyertakan jawatan menteri kesihatan. Ia berlaku ketika Sabah berdepan cabaran wabak Covid-19 yang semakin meluas.

Hajiji sendiri disahkan dijangkiti Covid-19 dan sedang diberikan rawatan di Hospital Queen Elizabeth. Kerajaan negeri kemudian melantik Masidi untuk menjadi jurucakap sementara Covid-19 di Sabah.

Untuk rekod Hajiji dan Masidi adalah pemimpin Bersatu.

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee dan Adun negeri itu berkata portfolio kesihatan tidak diperlukan kerana ia hanya akan menyebabkan pertindihan tugas.

Kata Abdul Aziz Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, wajar dilantik sebagai jurucakap Covid-19 menggantikan Masidi.

Hal itu kerana, katanya, portfolio kesihatan berada di bawah kementerian Shahelmy.

Shahelmy merupakan pemimpin Umno Sabah yang memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat dalam PRN baru-baru ini.