Kenderaan masuk ke Kelantan meningkat
Polis Kelantan mendapati berlaku peningkatan kemasukan kenderaan ke Kelantan semalam selepas pengumuman pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, yang berkuatkuasa tengah malam tadi.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, peningkatan kemasukan kenderaan itu dikesan melalui tiga pintu masuk membabitkan sempadan negeri di Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.
"Memang berlaku peningkatan trafik ke Kelantan terutama dari Lembah Klang. Sehubungan itu, saya senada dengan pengarah kesihatan Kelantan yang menasihatkan warga Lembah Klang yang pulang ke Kelantan menjalani kuarantin kendiri.
"Pendekatan itu sebagai langkah pencegahan awal agar (kemasukan perantau) tidak membawa sebarang masalah kepada keluarga di Kelantan.
"Harapan saya semoga kita mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Semalam Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin menyarankan agar mereka yang pulang ke Kelantan dari kawasan PKPB mengambil tindakan kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.
Katanya, golongan perantau itu juga dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke lokasi tumpuan awam di samping mengikut prosedur standard operasi (SOP) pencegahan Covid-19.
Sementara itu, Shafien berkata pihaknya turut mengarahkan semua ketua polis daerah supaya meningkatkan pemantauan terhadap masyarakat yang gagal mematuhi SOP.
"Setiap hari masih ada orang awam yang tidak mematuhi SOP walaupum berulang kali peringatan dibuat. Perlu diingat pegawai polis berada di merata tempat sama ada yang berpakaian seragam atau tidak.
"Saya juga meminta ketua polis daerah supaya memudahkan proses permohonan untuk melakukan perjalanan membabitkan laluan PKPB," jelasnya.

