Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama dengan Najib? Itu laporan 4 tahun lalu - Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 15, 2020 2:23 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata kenyataannya yang tular bahawa dia sanggup bekerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyelamatkan Malaysia sebenarnya adalah laporan berita dari tahun 2016.

Katanya, laporan portal The Coverage berjudul DAP Lim Kit Siang : ‘To Save Malaysia, I Am Prepared To Work With Najib To Restore Democracy & Implement Key Reforms’ bertarikh hari ini sebenarnya diambil daripada laporan Malay Mail bertarikh 12 Mac 2016.

Katanya, laporan itu ditularkan di media sosial dengan tujuan memberi gambaran bahawa dia bersetuju untuk DAP bekerjasama dengan Najib dan Umno bagi membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah kerja influencer media sosial dengan sokongan tentera siber mereka untuk menyebarkan berita dan tanggapan palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan itu timbul di tengah-tengah kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan apabila ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoiriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin.

Umno pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional, yang diterajui Muyiddin.

Laporan The Coverage itu memetik Lim berkata kesediaan bekerjasama itu hadir dengan syarat Najib harus mengakui kesalahannya dalam memimpin negara dan mengakui yang Malaysia perlu diselamatkan dengan reformasi politik dan reformasi demokrasi.

“Tetapi bagaimanakah perkara ini hendak dilakukan jika beliau tidak bersedia mengakui mengenai skandal 1MDB?” katanya lagi, sambil menambah kenyataan itu dibuat sejurus dia menandatangani Deklarasi Rakyat pada Mac 2016 untuk menyelamatkan Malaysia, ketika Najib masih perdana menteri.

Tambah ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, dalam tempoh empat tahun, sudah banyak perkembangan terjadi dalam dunia politik negara.

“(Ini termasuklah) kejatuhan kerajaan Najib, Najib didapati bersalah di atas tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau bersama-sama dengan menteri beliau berhadapan dengan pelbagai lagi dakwaan rasuah di mahkamah ...

“... kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang disebabkan oleh konspirasi “Langkah Sheraton” selepas 22 bulan, dan negara kita berhadapan dengan pemerintahan tidak sah dan kakistokratik yang membawa bersamanya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19,” tambahnya.

Katanya, matlamat “Selamatkan Malaysia” daripada sebuah trajektori kleptokratik, kakistokratik, dan sebuah negara gagal ini kekal relevan dan mendesak.

“Cabarannya adalah sama ada kita mampu untuk memberikan inspirasi kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang politik, kelas, umur, mahupun jantina, untuk bersama “Selamatkan Malaysia” - selepas kegagalan usaha menyelamatkan Malaysia sebelum ini”.

Lihat Komen
ADS