Bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari menafikan tuduhan bahawa keputusan membeli kenderaan mewah sebagai kereta rasmi untuk pegawai tinggi kerajaan negeri dibuat ketika pentadbiran PH.

"Di kala saya menjawat jawatan ketua menteri, saya mewarisi dari kerajaan terdahulu empat buah kenderaan yang boleh dimanfaatkan bagi kegunaan ketua menteri. Tiada keperluan kenderaan baru," katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Pemimpin Amanah itu berkata, walaupun kerajaan negeri boleh membeli apa saja kenderaan yang dirasakan sesuai, kemampuan kewangan pentadbiran dan keutamaan rakyat perlu diambil kira.

Katanya berdasarkan rekod sidang DUN yang lalu, sehingga September 2020 pendapatan kerajaan negeri hanya mampu mencapai 55 peratus daripada jangkaan pendapatan untuk tahun ini.

Semalam, akhbar China Press melaporkan khabar angin yang tersebar bahawa kerajaan Melaka membeli kereta mewah untuk menggantikan Honda Accords yang digunakan ketika ini adalah benar.

Adly

Menurut laporan itu, kereta rasmi Ketua Menteri Sulaiman Md Ali yang baru dinaik taraf kepada model Lexus ES250, sementara Speaker DUN Abdul Rauf Yusoh kini menggunakan Toyota Camry sebagai kenderaan rasminya.

Kedua-duanya adalah daripada Umno.

Ia mengundang kritikan daripada warganet yang melihatnya sebagai satu pemborosan di saat kemerosotan ekonomi susulan wabak Covid-19.

"Nasihat saya pada semua, utamakan rakyat, kalau boleh berjimat, berjimatlah. Gunakan segala yang ada untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan, hilang pendapatan, gagal melunaskan hutang di samping bebanan pendidikan pada anak-anak.

"Saya tidaklah berminat membesarkan isu yang kecil, untuk fitnah itu dipanjangkan dan sebagai peringatan kepada anak-anak muda yang baru belajar berbohong," katanya merujuk kepada kenyataan Pemuda Umno Kota Melaka di Facebook.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno Kota Melaka mendakwa permohonan untuk membeli kenderaan mewah itu dibuat ketika Adly menjadi ketua menteri, tetapi persetujuan diberikan hanya setelah pentadbiran bertukar.

Menurut laman web pengeluar kereta itu, harga pasaran Lexus ES250 bermula daripada RM295,663, Toyota Camry (RM188,763) dan Honda Accord (RM178,203).