Bengkel penjara Pokok Sena dijadikan hospital sementara
Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mewujudkan kemudahan yang dinamakan 'Makeshift Hospital dalam Penjara Pokok Sena, Kedah.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata dua blok bangunan bengkel sedia ada ditukar fungsi menjadi fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesaki Covid-19 termasuk yang memerlukan bantuan pernafasan.
"Selain mampu menempatkan sehingga 250 orang jika perlu, fasiliti ini juga boleh menempatkan pesakit dari penjara-penjara di sekitar Kedah.
"Hospital "makeshift" itu lengkap dengan kemudahan kategori tiga dan kategori empat kerana mempunyai fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen,sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Sultanan Bahiyah, Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adham, hospital make shift berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya Selasa depan.
"KKM akan terus berusaha dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan melalui pelbagai inisiatif dan bantuan.
"Justeru, KKM akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak selagi mana ia mampu membawa impak positif kepada pelbagai aspek hidup rakyat," katanya.
Terdahulu, sejumlah 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota dihantar ke Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah menerusi penerbangan pertama perkhidmatan kesihatan pasukan keselamatan itu pagi tadi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Pahlawan Dr Md Amin Muslan berkata penghantaran petugas dan kesemua kelengkapan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) itu sebagai persediaan penugasan di hospital medan yang dijadual beroperasi Selasa depan.

