Malaysiakini
BERITA

Saifuddin: Saya hadir hari pertama DUN tapi balik KL untuk ujian Covid-19

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Okt 2020, 9:27 pagi

Adun Pantai Jerejak Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa dia menghadiri pembentangan bajet Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Namun, menurutnya, dia terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana ada janji temu untuk pemeriksaan Covid-19 di Kuala Lumpur.

"Saya hadir hari pertama pembentangan bajet.

"Saya maklumkan kepada YB Chow (Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow) untuk pulang ke Kuala Lumpur pada petang.

"Saya ada janji temu di Hospital Pantai tujuan pemeriksaan kesihatan dan sekaligus ujian Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta menjelaskan kekecohan sesi persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Pulau Pinang semalam yang menyaksikan hampir 10 minit pertikaman lidah berlangsung antara beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berhubung isu ketidakhadiran Saifuddin.

Zulkifli Ibrahim (Bersatu-Sungai Acheh) ketika itu bangun bertanya kepada Speaker Law Choo Kiang tentang Saifuddin, sebelum DUN beralih kepada sesi penggulungan.

Persoalan itu telah menyebabkan Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) bangun dan membacakan Peraturan Dewan yang mewajibkan semua Adun kalau tidak dapat hadir harus memaklumkan kepada setiausaha DUN dengan kadar segera.

Afif menyifatkan Adun Pantai Jerejak sebagai menerima gaji buta dengan tidak hadir ke DUN selepas mendapat mandat rakyat.

Tindakan itu telah menyebabkan sesi pertikaman lidah antara beberapa Adun Pakatan Harapan yang bangun membantah dan meminta Afif untuk menarik balik perkataan ‘gaji buta’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo turut menjerit supaya semua duduk dan jangan bazir masa kerana sesi penggulungannya tidak dapat bermula akibat kekecohan itu.

Law terpaksa campur tangan dan meminta semua Adun bertenang dan duduk.

"Saya terima kasih kepada Yb Dr Afif dan Yb Zulkifli yang membangkitkan isu ini.

"Saya terima baik," katanya secara berseloroh.

Saifuddin merupakan setiausaha agung PKR dan juga anggota parlimen Kulim Bandar Bahru.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.