Covid-19: Kelantan sedia 4 hospital untuk rawatan, kuarantin
Kelantan menyediakan empat hospital bagi tujuan kuarantin dan rawatan pesakit COVID-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata empat hospital berkenaan adalah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Hospital Sultan Ismail Petra serta Hospital Kuala Krai di Kuala Krai dan Hospital Tumpat.
Beliau turut berkata satu lagi pusat kuarantin adalah di Pusat Latihan Tumpat yang sebelum ini pernah dijadikan sebagai pusat kuarantin semasa gelombang kedua COVID-19.
"Setakat ini ada 419 katil disediakan termasuk 111 katil di HRPZII, Hospital Kuala Krai (112 katil), Hospital Tumpat (96 katil) dan Pusat Latihan Tumpat (80 katil)," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Zaini berkata JKNK sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya ada pertambahan jumlah yang dijangkiti.
Jelasnya, setakat ini di Kelantan, hanya dua individu sedang menerima rawatan di Hospital Tumpat selepas disahkan positif Khamis lalu.
- Bernama

