Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air hitam dan berbau di Sg Langat bukan dari kilang - JAS

Punca air berwarna hitam serta berbau di sebuah kolam takungan banjir dan Sungai Langat, Selangor bukan efluen dilepaskan kilang memproses kertas terpakai di Kawasan Perindustrian Mahkota di Banting, kata Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar.

Katanya berkata punca air berwarna hitam serta berbau itu adalah akibat limpahan air bukan najis dan kumbahan rumah kongsi pada Ogos tahun ini.

Menurut Norlin, efluen perindustrian dari kilang memproses kertas terpakai dirawat dalam sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) dan sampel efluen yang diambil oleh JAS pada 17 Okt lepas adalah jernih serta tidak berbau.

Menurutnya, sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi memastikan pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Kolam ini didapati berbau akibat tiada pengaliran air. Kolam telah menjadi semakin cetek serta dipengaruhi kemasukan air Sungai Langat semasa fenomena air pasang dan surut selain terdapat satu outlet dari kolam takungan banjir dan ia membawa aliran air berwarna hitam ke Sungai Langat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan merujuk kepada isu pencemaran air berwarna hitam dan berbau yang didakwa penduduk Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan pada Ahad lepas.

Laporan tersebut turut mengaitkan sebuah kilang memproses kertas terpakai yang disyaki melepaskan air berwarna hitam dan berbau dikatakan sebagai sisa industri ke sebuah kolam takungan banjir berdekatan dan seterusnya ke Sungai Langat.

Sementara itu, Norlin berkata kolam takungan banjir terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Langat dibina oleh syarikat yang membangunkan kawasan perindustrian itu dengan tujuan menerima kemasukan air larian permukaan dari sistem perparitan industri di sekitarnya.

Beliau berkata pada masa ini, kumbahan dari rumah kongsi dirawat menggunakan dua unit tangki septik.

Katanya ia proses nyah enap cemar dilakukan kontraktor berlesen pada setiap minggu dan tiada kumbahan dilepaskan ke mana-mana alur air.

"Air basuhan dari dapur dan air mandian pekerja (air bukan najis) dari rumah kongsi dipam masuk ke sistem SPEP kilang kerana air bukan najis ini bersifat organik dan boleh dirawat kilang,” katanya.

Menurut Norlin, langkah itu juga adalah sementara kerana rumah kongsi akan dirobohkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Rumah kongsi baru pula., katanya, sedang dibina dalam kawasan kilang.

Sebagai tindakan segera, Norlin berkata JAS Selangor mengarahkan kilang terbabit melepaskan air larian hujan di dalam parit besar untuk membantu proses pencairan air berwarna hitam di kolam takungan.

"Di samping itu, bilangan pam ditambah bagi untuk menyedut semua air bukan najis ke sistem SPEP kilang untuk dirawat sementara menunggu kelulusan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir yang telah dimohon oleh pihak kilang kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat," katanya.

Mengenai isu bunyi bising dan pencemaran udara yang didakwa menyebabkan gangguan kesihatan kepada penduduk Taman Bakti, Norlin berkata, ia berpunca daripada kerja pemindahan atau pemunggahan kontena di kawasan peletakan kontena terletak kira-kira 30 meter dari Taman Bakti.

"Kawasan peletakan kontena ini telah dialihkan ke kawasan di luar kilang dan kini terletak lebih jauh dari kawasan perumahan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS