Kes sembur mata Dr. M: Polis diminta siasat siapa dalang
Polis diminta menyiasat pihak yang menjadi dalang insiden semburan pemedih mata ke muka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu Jumaat lalu.
Polis diminta menyiasat pihak yang menjadi dalang insiden semburan pemedih mata ke muka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu Jumaat lalu.
Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali berkata, tidak mungkin anggota tentera dan tokoh politik boleh bertindak sendiri tanpa ada orang yang berkuasa di belakangnya.
"Siasatan perlu dibuat supaya rakyat tahu siapakah dalang di belakang insiden tersebut. Jika tidak orang akan mempersoalkan kredibiliti anggota tentera kita.
"Saya tidak percaya tentera bertindak sendirian? Kalau benar tentera bertindak sendirian, ini bermakna anggota tentera negara kita mudah dibeli," katanya dalam sidang media di ibu negara petang tadi.
Ibrahim, bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas memanggil sidang media tersebut bagi menjelaskan isu sebenar di sebalik peristiwa semburan pemedih mata ke arah muka Dr Mahathir
Dalam peristiwa Jumaat lalu, dua pihak berebut untuk mendapatkan Dr Mahathir sehingga menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyembur muka bekas Presiden Umno itu.
Setakat ini polis telah menahan reman seorang ahli peniagaan bergelar 'Datuk' dan memanggil 27 saksi termasuk tujuh anggota tentera dari kem 8 Brigade, Pengkalan Chepa untuk diambil keterangan.
Ibrahim yang merupakan bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas juga mendakwa perbuatan menyembur pemedih mata ke muka Dr Mahathir bertujuan menghalang beliau berucap di khalayak ramai.
"Apa motif semburan tersebut...? Saya yakin ia untuk menghalang Tun (Dr Mahathir) daripada bercakap. Ada orang nak gagalkan program ini," katanya lagi.
Sakit dada
Beliau juga percaya, dirinya bukan sasaran utama si penyembur pemedih mata itu, tetapi Dr. Mahathirlah 'target' utama semburan tersebut.
" Kalau saya yang menjadi sasarannya, mereka boleh lakukan bila-bila masa, bukan ketika Dr. Mahathir hendak berucap di atas Pajero itu."
"Ketika Tun (Dr Mahathir) berada di dalam Pajero ada orang yang tidak bertanggungjawab telah menyembur pemedih mata ke arah muka beliau," katanya lagi.
Ibrahim berkata, beliau yang turut terkena semburan itu mengalami sakit dada, batuk-batuk dan mata berair.
Ibrahim juga menjelaskan masjlis lawatan Dr. Mahathir itu adalah anjuran bersama MTRK dengan Jawatankuasa Protem Bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Kelantan.
Beliau berkata, pegawai pejabat Dr Mahathir memberi kuasa kepada MTRK untuk menguruskan pengangkutan bekas Perdana Menteri ke hotel penginapan iaitu Hotel Perdana.
Bagaimanapun katanya, ketika keluar dari kawasan lapangan terbang tersebut, berlaku perebutan untuk membawa Dr. Mahathir ke Hotel Perdana.

