Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki tumbuk bomba dihukum penjara 6 bulan, denda RM6,000
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Seorang lelaki yang dirakam menumbuk seorang anggota bomba sedang bertugas dan tular di media sosial minggu lepas, dipenjara enam bulan dan didenda RM6,000 oleh dua mahkamah majistret berasingan di Kajang hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md Sain menjatuhkan hukuman itu ke atas Kan Hong Kit, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu.

Bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, Muhammad Noor Firdaus menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas pengurus acara itu.

Sementara di hadapan Syahrul Sazly, Kan - yang didakwa memandu secara melulu - dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM6,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selain lesen memandu digantung selama dua tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Kan didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi tujuan menghalang penjawat awam, Alfred Rudy anak Tungku daripada menjalankan kewajipannya sebagai anggota bomba, di tepi Jalan Suakasih Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras, pukul 10.40 pagi, 15 Okt lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa anggota bomba itu menjalankan tugas memadam sebuah kenderaan yang terbakar akibat kemalangan, Kan datang dan menyatakan mahu pergi ke keretanya.

Tertuduh diberi arahan supaya bertenang dan mengikut arahan, namun bertindak agresif dengan menumbuk lengan kiri mangsa dan cuba melarikan diri.

Lelaki itu juga didakwa memandu kereta secara melulu atau dengan kelajuan atau cara yang berbahaya kepada orang awam di Jalan Suadamai Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada 10.26 pagi, hari sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Kan memandangkan kejadian itu berlaku dalam tempoh perintah Kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Hairuliqram berkata orang ramai sepatutnya perlu memberi kerjasama penuh kepada penjawat awam yang menjalankan tugas.

"Apatah lagi dalam kes ini anggota bomba sedang memadamkan api dari kenderaan milik tertuduh yang sedang terbakar untuk mengelakkan satu letupan besar berlaku di tempat awam.

"Tertuduh juga tidak seharusnya mencederakan anggota bomba yang sedang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan tertuduh sendiri dan juga orang awam.

"Pihak pendakwaan memohon supaya kepentingan awam diberi keutamaan melebihi kepentingan peribadi tertuduh, " katanya.

Hairuliqram berkata akibat kecuaian tertuduh yang memandu secara melulu itu telah menyebabkan dua kenderaan rosak teruk.

Peguam Nik Azhar Nik Adib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS