Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
862 kes baru Covid-19 hari ini
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 6:08 PM
Dikemaskini: 11:57 AM

Sebanyak 862 kes baru penularan Covid-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 22,225 kes dengan 7,681 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah terus kekal mencatatkan pertambahan kes tinggi iaitu 673 kes atau 78.1 peratus daripada jumlah kes baru yang dilaporkan hari ini.

Katanya, Selangor turut mencatatkan pertambahan sebanyak 132 kes dan daripada jumlah berkenaan 84 kes dikesan daripada kluster sedia ada termasuk lapan dari kluster yang mempunyai sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

Dia berkata tiga kematian dilaporkan hari ini dengan semuanya di Sabah, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini 193 kes.

Selain itu, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih Covid-19 sebanyak 634 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 14,351 atau 64.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes pulih di Sabah sebanyak 433 kes, Kedah (109 kes), Selangor (77 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (10 kes), Negeri Sembilan (dua kes), Johor (satu kes), Pahang (satu kes) dan Terengganu (satu kes)," katanya.

Menurut Noor Hisham daripada 862 kes baru, terdapat dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara, masing-masing dari Mesir dan Indonesia.

Daripada 860 kes penularan dalam negara pula, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 Sept sebanyak 452 kes.

Katanya lagi, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 kes (78.1 peratus).

Memperincikan jumlah kes penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata selain Sabah dengan 673 kes, Selangor mencatatkan 132 kes, Kedah (17), Perak (sembilan), Pulau Pinang (lapan), Labuan (enam), Negeri Sembilan (enam), Kuala Lumpur (enam), manakala Putrajaya, Johor, Kelantan masing-masing satu kes.

Secara keseluruhan, sebanyak 235 kes (27.3 peratus) pada hari ini adalah daripada kluster Penjara Kepayan dan kluster Tembok yang kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat, jelasnya.

Sehingga kini, terdapat 95 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut status terkini Covid-19 di Malaysia

Kes sembuh = 634
Jumlah kes sembuh =14,351 kes
Kes baharu positif = 862
(kes import = 2, kes tempatan = 860)
Jumlah positif = 22,225 kes

Kes kematian = 3
Jumlah kes kematian = 193 kes
Kes dirawat di ICU = 95 kes

Bantuan alat pernafasan = 29 kes

 

Lihat Komen
ADS