mk-logo
Berita
Perhutanan Perak gagalkan cubaan ceroboh hutan di sempadan Pahang
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 11:02 PM
Dikemaskini: 3:02 PM

Jabatan Perhutanan negeri Perak berjaya menggagalkan cubaan menceroboh Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Kinta Manjung yang terletak bersempadan dengan Cameron Highlands, Pahang, Ahad lepas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, jabatan itu percaya pencerobohan dilakukan bagi aktiviti penerokaan secara haram untuk tujuan pertanian.

Menurutnya semasa operasi, pasukan penguat kuasa menemukan satu laluan yang diwujudkan di sebahagian Kompartmen 212 Hutan Simpan Bukit Kinta sejauh kira-kira 600 meter melalui jalan kebun bunga di Strawberry Park, Cameron Highlands.

"Penguat kuasa turut menemukan sebuah jengkaut dari laluan masuk yang terletak di dalam kawasan zon penampan sempadan Perak dengan Pahang dan jentera itu telah disita, namun pemandunya sempat melarikan diri semasa serbuan," menurut kenyataan di Ipoh, hari ini.

Menurutnya satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tanah Rata, Cameron Highlands mengenai pencerobohan berkenaan dan pihaknya juga akan menjalankan siasatan bagi mengesan sindiket pencerobohan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS