Malaysiakini
BERITA

Pahang mohon teliti semula arahan tutup Taman Negara

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Okt 2020, 4:02 petang

Kerajaan negeri Pahang memohon pihak berkaitan untuk meneliti semula arahan penutupan Taman Negara Kuala Tahan kira-kira 180 kilometer dari Bentong, memandangkan negeri ini tidak terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata arahan itu dilihat menjejaskan sektor pelancongan yang baru hendak dirancakkan semula selepas berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan mulai 18 Mac lepas.

"Pengusaha resort dan pemandu pelancong baru hendak menarik nafas lega (selepas PKP) namun arahan penutupan Taman Negara menyebabkan ramai pelancong terpaksa membatalkan tempahan yang difahamkan mengakibatkan kerugian kepada mereka.

"Bagi saya keputusan ini harus diteliti semula kerana pelancong dari luar kawasan PKPB seperti Johor, Kelantan dan Perak masih boleh berkunjung ke negeri ini tanpa melalui kawasan PKPB," katanya kepada pemberita di Bentong, hari ini.

Mohd Sharkar ditemui selepas melancarkan Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (SATJB) di Janda Baik di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang Datuk Idros Yahya dan Pengerusi SATJB Rohaimi Anuar.

Mohd Sharkar menambah beliau telah menerima memorandum daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung Kuala Tahan bagi memohon arahan penutupan itu ditarik balik atas alasan pendapatan terjejas.

Beliau diminta mengulas mengenai arahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 6 Okt lepas berhubung penutupan Taman Negara itu sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes Covid-19.

Tiga kawasan pula dikenakan PKPB iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Okt ini.

Mengulas mengenai pelancaran SATJB, beliau berkata ia merupakan pelancongan berasaskan komuniti pertama di Semenanjung Malaysia, yang memberi peluang kepada penduduk Janda Baik untuk menguruskan Air Terjun Ulu Tampik yang berpotensi diketengahkan sebagai lokasi pelancongan.

"Ia merupakan projek rintis dan saya berharap penduduk di sini dapat membangunkan sistem tempahan sendiri bagi memudahkan pengunjung membuat tempahan selain memudahkan jumlah kehadiran pelancong diketahui," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Sharkar juga menyampaikan Sijil Jurupandu Berkemahiran kepada lapan jurupandu yang menghadiri kursus Pemandu Alam Semulajadi Tahap II (Green Badge) serta pelancaran 'Tampik Junior Ranger' terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan