Lebih 12,000 sampel ujian Covid-19 belum diproses di Sabah
Jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 bagi Sabah Masidi Manjun mendedahkan bahawa masih ada 12,720 sampel saringan Covid-19 yang belum diproses di negeri itu.
Ia merupakan satu peningkatan daripada 10,400 sampel tertunggak yang dinyatakannya pada 20 Oktober lalu.
Masidi yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah berkata, angka terbaru itu termasuk sampel yang baru diterima serta yang tertunggak.
"Saya melihat angka ini dari dua aspek. Pertama, memang ada sampel tertunggak untuk menunggu hasil ujian.
"Tetapi pada masa sama, jumlah tertunggak ini cerminan kepada usaha Jabatan Kesihatan Negeri sabah untuk menjalankan ujian di kawasan yang lebih luas dan melibatkan lebih ramai penduduk.
"Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada jumlah sampel tertunggak yang tinggi," katanya ketika sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Untuk rekod, tiga makmal kerajaan di Sabah mempunyai kapasiti untuk menjalankan 2,600 ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sehari, tetapi biasanya membuat lebih ujian berbanding kapasitinya.
Sejumlah sampel tertunggak diberikan kepada makmal swasta di Sabah atau diterbangkan setiap hari menggunakan pesawat tentera udara untuk diproses di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Masidi memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri mengesyorkan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah, yang dijadual berakhir pada 26 Oktober.
Ini kerana angka kes baru yang dilaporkan di sana masih tinggi, dengan 528 kes baru hari ini.
Bagaimanapun, Masidi tidak menyatakan jika sekatan PKPB di Sabah akan diketatkan atau tempoh lanjutan itu. Perkara itu di bawah bidang kuasa MKN, katanya.

