Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia mungkin dapat bekalan vaksin Covid-19 suku pertama 2021

Malaysia dijangka mula memperoleh bekalan vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun depan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan bersama hari ini berkata, keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis serta petugas penjara dan imigresen.

"Setakat ini, KKM berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga," menurut kenyataan dikeluarkan susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam.

Mosti dan KKM berkata kerajaan juga sedang memuktamadkan rundingan dengan Covax iaitu satu inisiatif antarabangsa dipimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakannya untuk memastikan akses vaksin Covid-19 - yang mempunyai sembilan calon vaksin bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI).

"Kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung Covid-19 Kementerian Kewangan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, mesyuarat JKJAV yang dipengerusikan secara bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin turut bersetuju membentuk empat jawatankuasa kecil merentasi pelbagai kementerian dan agensi mengikut tugas tertentu.

Jawatankuasa tersebut adalah Polisi Vaksinasi Kebangsaan dan Pemilihan Calon Vaksin Yang Sesuai; Pendaftaran, Logistik dan Pembangunan Vaksin; Kewangan dan Perolehan; dan Komunikasi.

"Kerajaan komited untuk mendapatkan keputusan segera bagi perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan vaksin yang diluluskan dan terbukti selamat kelak," katanya.

JKJAV ditubuhkan bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh segera dengan Mosti dan KKM bertindak sebagai jawatankuasa induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin Covid-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS