Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong harapan terakhir halang 'darurat' - DAP
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 3:55 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah harapan terakhir untuk menghalang sebarang langkah ke arah pengisytiharan darurat yang "tidak wajar", kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut Lim, langkah yang didakwa dirancang kerajaan Persekutuan itu adalah usaha Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan diri dengan "mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi".

'Rakyat memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas Kabinet semalam mencetuskan spekulasi bahawa kerajaan berhasrat ke arah darurat.

Istana Negara juga telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Kenyataan Istana Negara itu tidak menjelaskan apakah cadangan yang dibawa Muhyiddin.

Lim berkata rancangan itu tiada kaitan dengan penularan wabak Covid-19, berdasarkan penilaiannya terhadap satu laporan akhbar The Star yang dimiliki MCA.

"(Laporan itu) secara terbuka mengakui pengisytiharan darurat untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika 'aktiviti politik'.

"Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada perdana menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk," katanya lagi.

Laporan "eksklusif" The Star hari ini memetik sumber yang mendakwa kerajaan Persekutuan menimbang untuk mengisytiharkan darurat bagi menggantung Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat dijadual bermula 2 November. Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Pada masa ini tidak jelas sama ada Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Umno sebelum ini juga menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun presidennya Ahmad Zahid Hamidi kemudian mengumumkan “gencatan politik” dan menegaskan sokongannya terhadap gabungan itu.

Lihat Komen
ADS