Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara pengeluar minyak menghentikan urus niaga dalam dolar Amerika dan pound Britain bagi menghentikan kekejaman Israel di Lubnan.

Katanya, ini kerana kemusnahan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Israel tidak mungkin terjadi tanpa sokongan dan muafakat antara Amerika dan Britain.

"Hanya apabila ia menjadi miskin, Amerika akan menghentikan pembunuhan dan kemusnahan yang dilakukan itu, dan Amerika tidak akan mampu membiayai peperangan jika ia miskin," katanya dalam kenyataan di ibunegara.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata dunia sekali lagi terpaksa menyaksikan keangkuhan dan kekejaman Israel di Lubnan dan Palestin tanpa dapat berbuat apa-apa.

"Saya tidak percaya dengan kutukan yang sia-sia kerana ia tidak akan dihiraukan, dan kini tibalah masanya bagi dunia untuk bertindak.

"Saya merayu kepada dunia supaya mengambil tindakan mudah ini. Tolak dolar dan pound. Seluruh dunia akan mengalami kekecohan ekonomi. Tapi, inilah harga yang kita perlu sedia untuk membayarnya...ia hanyalah untuk sementara saja.

"Jika kita tidak berbuat demikian, paksi Israel-Amerika-Britain akan mara ke Syria dan Iran serta negara lain dengan alasan mereka semua melindungi pengganas," katanya.

Laporan asing menyebut bahawa sekurang-kurangnya 598 orang telah terbunuh di Lubnan, tetapi pihak berkuasa negara itu menyatakan jumlahnya ialah 750 orang, termasuk mayat yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Ahad lepas, serangan bom oleh Israel meragut nyawa 54 orang awam, termasuk 37 kanak-kanak di perkampungan Qana di Lubnan.