Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majikan perlu ambil tindakan pekerja salah guna arahan kerja dari rumah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata majikan bertanggungjawab dan wajar mengambil tindakan ke atas pekerja yang menyalahgunakan arahan kerja dari rumah untuk keluar melakukan aktiviti sosial seperti membeli-belah.

Hal ini selepas kerajaan mengarahkan pengurus dan penyelia dari sektor tertentu dalam kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk bekerja dari rumah.

“Kami melihat jangkitan turut terjadi di tempat kerja, jadi kerajaan telah memberi peluang untuk pekerja bekerja dari rumah, bukan untuk keluar bersantai atau membeli-belah.

“Majikan bertanggungjawab untuk memastikan (pekerja) bekerja di rumah. Kita ada kerja dan KPI untuk dipenuhi. Bukan hanya duduk di rumah tanpa ada kerja,” kata Noor Hisham menerusi sidang media hariannya di Putraya hari ini.

Noor Hisham merujuk situasi dirinya sendiri ketika menjalani perintah kuarantin kendiri selama 14 hari, di mana pada mulanya dia menyangka tidak banyak tugas untuk dilaksanakan.

Namun sebaliknya sepanjang dua minggu itu, dia bekerja selama 14 jam setiap hari.

“Saya tiada masa untuk tinggalkan rumah kerana kita ada KPI, kami ada kerja untuk dilakukan seperti yang diarahkan majikan,” katanya.

Dia turut menggesa majikan mengambil tindakan terhadap pekerja yang didapati tidak melakukan tugasan mereka di rumah.

“Sebagai contoh, kita harus siapkan kerja dalam masa lapan jam tetapi jika kita (pekerja) tidak melakukannya, majikan perlu ambil tindakan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS