Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarjan guna duit hantaran untuk bayar jamin kes rasuah

Sejumlah wang yang dirancang untuk digunakan sebagai belanja perkahwinan bertukar menjadi wang jaminan.

Itulah nasib dihadapi seorang anggota polis berpangkat sarjan selepas mengaku tidak bersalah dengan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Tertuduh, Ibrahim Sabdi, 27, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak empat tahun lalu didakwa menerima rasuah sebanyak RM8,000 pada April lalu.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM4,000 daripada Mohd Khairul Azwani Mohamed Nor, 34.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi Abd Ghani, 40, yang ditangkap mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun kira-kira jam 1 petang di Bahagian Narkotik IPD Pasir Puteh pada 7 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi tuduhan kedua pula, Ibrahim didakwa sekali lagi menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada Khairul Azwani sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi di lokasi sama kira-kira pukul 8 malam pada 8 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Ibrahim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah elepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim, Zaman Mohd Noor.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainuddin.

Sementara itu, Noor Hamizah memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun Mohamed Yazzer memohon agar jumlah ikat jamin yang rendah dikenakan susulan anak guamnya bakal melangsungkan perkahwinan Disember ini dengan seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

"Anak guam saya akan menggunakan wang hantaran dan belanja urusan perkahwinannya untuk membayar ikat jamin. Wang jaminan itu akan dibayar oleh ibu saudaranya dan saya mohon ikat jamin yang rendah sebagai jaminan untuk anak guam saya hadir ke mahkamah.

"Selain itu, Ibrahim juga akan hadir ke mahkamah untuk sesi perbicaraan kerana dia masih lagi bertugas sebagai anggota polis," katanya.

Zaman menetapkan ikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di SPRM Kota Bharu setiap awal bulan.

Mahkamah juga menetapkan 29 November depan bagi sebutan semula kes dan tertuduh membayar jumlah ikat jamin seperti ditetapkan mahkamah.

Lihat Komen
ADS