Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan dalaman berhubung kes dua beradik dan seorang wanita disyaki melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik pasukan keselamatan itu pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan anggota yang bertugas cuai membenarkan suspek membawa kereta berkenaan untuk pemeriksaan.
“Kes ini melibatkan dua orang awam lelaki menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman untuk membuat pemeriksaan sistem kamera pada kereta peronda berkenaan.
“Anggota yang bertugas percaya dan membenarkan mereka buat pemeriksaan sebelum melarikan kereta itu,” katanya kepada Bernama.
Pada 25 Okt lepas, Bernama melaporkan polis menahan dua beradik dan seorang wanita disyaki terlibat melarikan kereta pasukan PDRM dari IPD Seberang Perai Utara, selepas kenderaan itu ditemukan di Shah Alam.
- Bernama
