Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
835 kes baru, 2 kematian, 89 dalam ICU
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 6:03 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia turun kepada tiga digit hari ini, iaitu pada 835 kes berbanding 1,240 kes, yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 28,640 kes dengan kes aktif sebanyak 9,903.

Dia berkata daripada kes baru itu juga, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 410 kes.

“Sukacita dimaklumkan pada hari ini, negeri Sabah mencatatkan penurunan jumlah kes baru sebanyak 517 kes (55.8 peratus) iaitu daripada 927 kes kepada 410 kes.

“Walaupun terdapat penurunan jumlah kes pada hari ini, KKM masih terus giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di seluruh negeri Sabah.

“Ini kerana, masih terdapat sebanyak 44 kluster yang aktif di Sabah dan peningkatan kes harian tempatan masih boleh berlaku,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Jumlah kes baru itu dikuti oleh Negeri Sembilan dengan 155 kes, Selangor (125 kes), Labuan (74 kes), Sarawak (16 kes) Pulau Pinang (13 kes), Perak (11 kes), Kuala Lumpur (9 kes) dan Johor (8 kes).

Kedah dan Terengganu masing-masing mencatatkan empat kes manakala Putrajaya pula mempunyai satu kes.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 138 kes atau 16.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

“Daripada 138 kes baru ini, 65 kes atau 47.1peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baru. Untuk makluman, negeri-negeri ini dan juga Sabah telah pun diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat dua  kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini iaitu; kluster Lintas di daerah Kota Kinabalu, Sabah dan kluster Limbungan di Labuan.

Sementara itu, daripada keseluruhan kes terbaru terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, Ini melibatkan satu warganegara dan empat bukan warganegara yang tiba dari India, Indonesia, Thailand dan Bulgaria.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat sebanyak 674 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 18,499 atau 64.6 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 89 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah kedua-dua mangsa adalah dari Tawau, Sabah.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 238 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Lihat Komen
ADS