Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH bermesyuarat esok, dijangka bincang isu sokong belanjawan

Majlis presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka mengadakan pertemuan esok, di kala gerakan-gerakan politik nampaknya sudah terhenti.

Berdasarkan sumber PH, pertemuan itu akan berlaku di tempat pertemuan biasa mereka, di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, bagi membincangkan langkah gabungan pembangkang yang seterusnya.

Mesyuarat majlis presiden yang terakhir adalah pada bulan lalu, dua hari selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Berbanding pada ketika itu, senario politik kini sudah banyak berubah - selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen, kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba untuk melaksanakan perintah darurat, namun ditolak Yang di-Pertuan Agong.

Ada yang melihat penolakan Agong sebagai tamparan buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun nampaknya kerajaan PN yang goyah mendapat talian hayat baru.

Khabar angin bahawa PN akan ditumbangkan ketika sidang Parlimen bermula 2 Nov nanti - yang turut melibatkan pembentangan Belanjawan 2021- juga semakin reda.

Tak sertai kerajaan

Ketika dihubungi Malaysiakini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menjangkakan agenda utama mesyuarat itu nanti adalah “menyokong Belanjawan 2021”.

“Saya fikir kami akan bincangkan (perkara itu) secara menyeluruh, termasuklah apa bentuk kerjasama (dengan kerajaan) …”

Bagaimanapun, katanya, sesetengah orang salah faham bahawa PH akan menyertai sebuah kerajaan perpaduan.

“Tak, tak betul tu,” katanya. “Semua idea (daripada parti pembangkang) akan dibentangkan, kami akan bincang. Tapi saya sangat percaya yang kami mahu sokong Belanjawan dan tidak (akan) membincangkan tentang menyertai kerajaan. Tak ada langsung”.

Ketika ditanya berkenaan cadangan bekas perdana menteri Najib Razak agar BN mempertimbangkan menyokong Anwar sebagai perdana menteri, Salahuddin menganggap ia sebagai “perkara yang sudah berlalu”.

Dia turut menambah bahawa kemungkinan kerajaan PN ditumbangkan sudah tidak menjadi isu buat masa ini, dan keutamaan harus ditumpukan untuk membincangkan hal Belanjawan.

“Muhyiddin (jatuh) atau tidak, itu kita patut letak ke tepi,” kata ahli parlimen Pulai itu.

“Kami akan sokong Belanjawan”.

Sementara itu, Salahuddin sekali lagi menegaskan yang Muhyiddin wajar mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang untuk membincangkan berkenaan Belanjawan 2021.

“Dia mesti hormat kedudukan ketua pembangkang di Parlimen (Anwar) … Saya mahu jelaskan yang kami akan sokong Belanjawan,” katanya.

Semalam, Salahuddin berkata pembangkang bersedia bertemu dengan Muhyiddin bagi membincangkan soal Belanjawan 2021, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan.

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, sekiranya pertemuan itu menjadi kenyataan, dia akan membentangkan cadangannya kepada Muhyiddin, termasuklah moratorium pinjaman untuk industri kecil dan sederhana (PKS).

Dia turut menggesa kerajaan PN untuk menyediakan peruntukan yang setara buat semua ahli parlimen.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS