Bagi bantuan kewangan untuk mereka terjejas - Mat Hasan
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berharap kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin tertekan khususnya di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan PKPB.
Mohamad berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam laporan terbarunya telah menurunkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.
Katanya, penurunan unjuran ini adalah berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes Covid-19 dan pelaksanaan kembali perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Rentetan dari itu, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban, terutamanya di kawasan PKPD dan PKPB.
"Pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini.
"Inisiatif Program Penjana juga perlu dilanjutkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini berada dalam PKPB ekoran gelombang kedua Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bahkan beberapa kawasan di Sabah dan Selangor diletakkan di bawah PKPD ekoran penularan wabak berkenaan.
PKPB Sabah yang bermula 13 Okt disambung sehingga 9 Nov. Begitu juga dengan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya berakhir 27 Okt disambung sehingga 9 Nov.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata gelombang ketiga Covid-19 kini dijangkakan akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.
"Justeru, saya berharap kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik.

"Kita tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi. Vietnam dijangka akan memintas negara Malaysia pada tahun 2020 untuk menjadi ekonomi ke-4 terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini untuk pelaburan.
"Usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan ‘economic recovery and reseting’ dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan di permudahkan lagi," katanya lagi.

