Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semai' dadah di laman rumah untuk elak dikesan polis

Tindakan seorang lelaki menanam hampir 20,000 pil kuda di kawasan halaman rumahnya gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila bahan terlarang itu berjaya dikesan dalam satu serbuan di sebuah rumah taman di Kampung Ketereh, Kota Bharu, jam 9.15 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar, berkata hasil risikan dan maklumat diperolehi pihaknya membuat serbuan ke rumah terbabit dan menemui seorang lelaki berusia 52 tahun.

Susulan itu, katanya, polis merampas 18,000 biji pil kuda dan 500 gram syabu yang ditanam di halaman rumah serta 24 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM240,000.

"Anggota membuat pemeriksaan di dalam rumah namun tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang, namun kemudian menyedari terdapat beberapa lubang mencurigakan di sekitar halaman kediaman suspek.

"Polis kemudian menggali lubang itu. Tiga daripadanya didapati berisi plastik putih yang dipercayai berisi 6,000 biji pil kuda pada setiap lubang.

"Di lubang keempat pula suspek menyorokkan tin biskut yang di dalamnya berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 500 gram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Menurut Sheik Azhar suspek disyaki sudah menanam semua dadah berkenaan dua atau ke tiga sebelum serbuan dibuat.

Genggam plastik berisi dadah

Katanya polis turut menemui lima botol dibalut surat khabar berisi 24 gram dadah jenis heroin dalam sebuah reban ayam di halaman rumah terbabit.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah selain mengesyaki rumah yang didiami itu dijadikan tempat transit untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan di seluruh Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu dalam kes berasingan, JSJN Kelantan turut merampas 101.28 gram dadah jenis syabu bernilai lebih RM10,100 dan wang tunai berjumlah RM3,500 melalui serbuan sebuah rumah di Kubang Kerian jam 5 petang, semalam.

Katanya, seorang lelaki berusia 27 tahun yang ada di rumah tersebut ditahan. Ketika itu kata Sheik Azhar lelaki terbabit sedang mengenggam dua bungkusan plastik berisi dadah berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang juga seorang penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan dia negatif dadah.

"Kedua-dua suspek terbabit ditangkap dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Nov untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Polis juga menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Proton Iriz hasil dua serbuan terbabit.

Tegas Sheik Azhar, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Lihat Komen
ADS