Malaysiakini
BERITA

PKPD dikuatkuasakan di 3 kawasan di Kudat mulai 30 Okt

Diterbitkan

Tiga lagi kawasan di daerah Kudat di Sabah akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Labuan dilanjutkan sehingga 13 November.

Tiga kawasan itu adalah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yakob memaklumkan perkara itu pada sidang media hari ini.

Ismail berkata, kerajaan Sabah telah membangkitkan isu peningkatan kes positif di tiga kampung tersebut.

"Mengambil kira peningkatan kes di ketiga-tiga lokaliti ini dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kg. Pengaraban, Kg. Tg Kapor dan Kg. Landung Ayang di Kudat bermula 30 Oktober sehingga 12 November," katanya.

Katanya, perintah itu melibatkan 2,392 buah rumah dengan jumlah 13,884 penduduk.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Walaubagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam enam pagi sehingga enam petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail juga memaklumkan PKPB di Labuan yang berkuatkuasa sejak 12 hingga 30 Oktober dilanjutkan kepada 13 November.

"KKM masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang dikesan dalam kalangan penduduk di Labuan," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan