Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadang-kadang malam pun tak boleh tidur, kata Noor Hisham

'Perang' yang panjang dan berterusan menyebabkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghadapi kelesuan mental dan fizikal, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Menurut ketua pengarah kesihatan itu, perang melawang Covid-19 kini berlanjutan sehingga 10 bulan dan ia memaksa kakitangan KKM bertugas tanpa cuti.

Malah antara yang menghadapi tekanan itu ialah Noor Hisham sendiri yang berdepan dengan tekanan "yang amat tinggi".

"Mungkin ada yang terkesan dengan tekanan yang tinggi dan sebagainya, termasuk ketua pengarah kesihatan juga (hadapi) tekanan yang amat tinggi.

"Kadang-kadang, malam pun tak boleh tidur sebab pelbagai aktiviti yang kita kena fikirkan, bagaimana kita boleh selesaikan masalah ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Kes positif Covid-19 menurun untuk seketika beberapa bulan lalu dan pernah mencatatkan angka sifar sehinggalah pilihan raya negeri diadakan di Sabah akhir Sept lalu.

Ia mencetuskan gelombang ketiga Covid-19 dengan setiap hari kes baru dikesan dengan tiga atau empat angka akhir-akhir ini. Jumlah kematian juga dicatatkan dari semasa ke semasa.

Kata Noor Hisham selain kakitangan KKM di lapangan, kelesuan mental dan fizikal turut dialami di peringkat kementerian.

"Ini adalah sebab kita berperang berterusan tanpi henti untuk tempoh 10 bulan tanpa cuti, setiap hari ada mesyuarat dan juga ada tindakan.

"Jadi, setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugan dengan sebaik mungkin," katanya.

Bagaimanapun menurut Noor Hisham keadaan itu masih terkawal.

"Setakat ini, masih boleh bertahan," katanya.

Lihat Komen
ADS