Bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya menyambut baik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pinjaman RM300 juta yang diberikan oleh Bank Pembangunan Sabah (SDB) kepada AirAsia Berhad (AirAsia).

Mohd Shafie dalam satu kenyataan berkata, ini kerana sebagai bekas ketua menteri dan Menteri Kewangan Sabah, dia sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman tersebut.

"Sebagai bekas ketua menteri dan menteri kewangan, saya sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman itu.

"Ini kerana permohonan itu bukan dibuat dalam tempoh semalaman sebaliknya SDB melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum kelulusan diberikan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga presiden Warisan itu berkata AirAsia adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia, justeru sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta tentu dibuat selepas semua syarat pinjaman dipatuhi pemohon.

Kenyataan Mohd Shafie itu dibuat selepas media melaporkan SPRM Sabah memulakan siasatan berhubung pinjaman tersebut.

Laporan yang memetik sumber itu berkata bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memerintahkan sebuah firma audit bebas menjalankan siasatan forensik terhadap transaksi tersebut.

Laporan itu juga dipetik sebagai berkata pinjaman tersebut diluluskan di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Sabah itu pada 2 Julai.

Mohd Shafie berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat itu menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri terbabit.

"Syarikat penerbangan itu merancang untuk beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu. Antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai OurFarm selaras dengan sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-commerce.

"AirAsia juga merancang membelanjakan RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hab antarabangsa mereka," katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Shafie segala perancangan AirAsia sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.

"Sebenarnya, semasa saya menjadi ketua menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dilancarkan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri pengeluar produk pertanian selain memastikan jaminan makanan (food security) kepada negara," katanya.

Oleh itu, tambah Mohd Shafie, kerajaan tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) semata-mata, sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecilkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan pihaknya memulakan siasatan berhubung pinjaman tersebut.

"Ya, kami telah memulakan siasatan kami untuk melihat apakah ada pelanggaran terhadap akta SPRM 2009," katanya.