Malaysiakini
BERITA

Empat kluster baru, 234 kluster keseluruhan

Diterbitkan

Empat kluster baru Covid-19 iaitu Kluster Seri Gaya, Kluster Greenhill, Kluster Idaman dan Kluster Bayu telah dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, menjadikan keseluruhan kluster ketika ini sebanyak 234.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Seri Gaya melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah dengan 17 kes dikesan positif Covid-19, sementara 47 lagi individu yang disaring dikesan negatif setakat 12 tengah hari ini.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14153) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Okt 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif Covid-19.

"Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Kluster Greenhill pula dilaporkan di daerah Kuching dan Miri, Sarawak dengan kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-27786) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Okt.

"Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 24 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

"Sehingga 28 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 51 individu telah disaring dengan 25 kes dikesan positif Covid-19 (21 kes baru) dan 26 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Idaman, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Petaling dan Gombak, Selangor serta daerah Titiwangsa dan Cheras di ibu negara dengan 11 kes dikesan positif Covid-19, manakala 300 individu dikesan negatif daripada 481 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16044) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Okt 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif Covid-19," katanya sambil menjelaskan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi Kluster Bayu, katanya ia melibatkan daerah Johor Bahru dan Muar di Johor dengan kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-25677) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 23 Okt lepas.

"Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

"Sehingga 28 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 104 individu telah disaring, dengan lapan kes dikesan positif Covid-19 (empat kes baru), 60 individu negatif dan 36 individu menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, KKM merekodkan 123 kluster aktif dengan 37 daripadanya mencatatkan pertambahan kes. 

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan