Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kawasan PKPD Taman Semarak diperluas rangkumi kedai
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Taman Semarak, Tawau di Sabah kini diluaskan untuk merangkumi satu deretan kedai.

Ini selepas penduduk berdemonstrasi semalam kerana susah mendapat bekalan makanan.

Peraturan baru mengenai penghantaran barang dan gerai makanan juga telah diperkenalkan.

Agensi berita kerajaan Bernama memetik setiausaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang hari ini mengatakan bahawa penduduk kini boleh mengunjungi kedai dari jam 6 pagi hingga 6 petang.

Keputusan itu dibuat pada pertemuan Pusat Kawalan Operasi Bencana Tawau (PKOB) malam tadi berikutan demonstrasi tersebut.

Semalam, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya mengarahkan agensi negeri untuk meneliti keperluan penduduk.

Turut diputuskan bahawa sebarang sumbangan makanan untuk penduduk kini boleh diserahkan di dua pusat pemeriksaan yang ditetapkan - Simpang Utama Semarak atau Bulatan Semarak Megah - antara jam 9 pagi hingga 2 petang.

"Penghantar boleh berhubung terus dengan keluarga terbabit untuk mengambil barang berkenaan mengikut masa yang ditetapkan. Sekali gus SOP sebelum ini berkaitan penghantaran barang termasuk ke PKOB di MPT adalah terbatal," kata Pang.

Penjual makanan, termasuk mereka yang menjual sayur-sayuran dan ikan perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum mereka dibenarkan memasuki kawasan PKPD Taman Semarak.

Pang menambah bahawa penduduk tidak akan dibenarkan meninggalkan kawasan PKPD untuk mengakses mana-mana bank dan mencadangkan agar mereka menghubungi anggota keluarga untuk menyerahkan wang di pusat pemeriksaan.

Kehabisan makanan

Semalam, kira-kira 50 penduduk Taman Semarak mengadakan demonstrasi di sebalik pagar kawat berduri yang dipasang mengelilingi kawasan kediaman mereka.

Dalam video demonstrasi yang kini tular, penduduk dilihat memakai topeng dan berdiri dengan menjaga jarak fizikal antara satu sama lain sambil meminta kerajaan memberi mereka akses kepada makanan dan bekalan.

 

Seorang demonstran mengangkat sebuah plakat yang bertuliskan “Kami gaji hari, benarkan kami ambil duit di bank. Satu orang satu rumah saja. (Anak-anak kami perlukan) susu dan pampers.

Sementara seorang lagi demonstran mengangkat plakad tertera" "Kami minta diizinkan belanja di bawah (di kedai)".

Demonstran Johny Garakit Goran memberitahu Sinar Harian bahawa ramai penduduk kehabisan makanan setelah empat hari berada di bawah PKPD.

"Masalah kami sekarang adalah sukar mendapatkan bekalan makanan dan kedai berhampiran telah dipagari.

"Kami hanya mahu pergi tidak jauh dari sini untuk membeli makanan kerana banyak penduduk kehabisan makanan. Beberapa yang lain juga kehabisan gas untuk masak,” katanya seperti dilapor.

Bekalan makanan mentah yang disumbangkan oleh orang lain kepada penduduk juga akan terbuang kerana penghantaran yang tertunda, tambahnya.

"Mereka mengumpulkan barang (di pusat pemeriksaan) dan hanya memberikannya kepada penduduk pada waktu malam. Sudah tentu makanan mentah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran akan rosak.

"Sukar bagi penduduk untuk bergantung pada orang lain kecuali ketua isi rumah untuk keluar dan membeli bekalan, terutama makanan mentah," kata Johny.

Taman Semarak, yang dilaporkan terdiri daripada 4,000 keluarga ditempatkan di bawah PKPD dari 26 Oktober hingga 8 November berikutan lonjakan kes Covid-19 di sana.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Tawau melaporkan sejumlah 1,189 kes, jumlah kes kedua tertinggi di 26 daerah di negeri ini.

Sabah telah menjadi pusat gelombang Covid-19 ketiga negara ini, dan telah menyaksikan sejumlah besar kluster jangkitan selain mencatatkan peningkatan kes kematian.

Di bawah PKPD, penduduk yang terjejas harus tinggal di rumah kecuali untuk mendapatkan bekalan asas. Pihak berkuasa juga seharusnya mengedarkan makanan kepada penduduk.

PKPD bertujuan untuk membolehkan ujian Covid-19 bersasar dapat dijalankan.

Lihat Komen
ADS