Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor bentang Belanjawan 2021, peruntukan RM2.32 bilion

Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan berjumlah RM2.32 bilion.

Jumlah itu hampir sama dengan peruntukan belanjawan sebelumnya, iaitu RM2.33 bilion.

Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, bagi tahun 2021, sebanyak RM1.22 bilion atau 53 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM1.1 bilion atau 47 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

"Bagi tahun 2021, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.20 bilion, setara seperti anggaran hasil tahun semasa.

"Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2021 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM1.03 bilion, bersamaan 46.98 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan," katanya ketika membentangkan belanjawn itu di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Tema belanjawan Selangor 2021 adalah Melakar Realiti Baru: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat yang menurut Amirudin bakal mencipta kira-kira 15,000 peluang pekerjaan di negeri itu.

Belanjawan di saat wabak

Dalam pembentangannya, Amirudin berkata belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada lima strategi iaitu digitalisasi, pembangunan modal insan, kemampanan alam sekitar, sumber dan rantaian bekalan makanan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan industri.

Bagi agenda digitalisasi, Amirudin berkata sebanyak RM369 juta diperuntukkan untuk program baru seperti Selangor Innovation Fund untuk membantu pengusaha start up, Smartbox Pejabat Tanah Galian (PTG) untuk memudahkan urusan tanah dan Rakan Digital selangor untuk pendidikan awam, selain penerusan program sebelum ini seperti e-dapur dan e-sukan.

"Inisiatif Data Internet Selangor turut diperkenalkan dengan peruntukan RM17.5 untuk membantu pelajar serta golongan yang memerlukan mendapat perkhidmatan internet pada harga yang lebih berpatutan,"katanya.

Inisiatif khas iaitu Niaga Daru Ehsan (NaDi) pula untuk menggalakkan penduduk menceburi perniagaan dengan memberikan pinjaman bermula RM1,000.

"Inisiatif Selangor E-Pembekalan Peruncit Mikro turut diwujudkan bagi membantu peruncit mikro dan kecil di seluruh negeri," katanya.

Selain itu, Amiruddin berkata sebanyak RM56.5 juta peruntukan disediakan untuk memperkasa sektor kesihatan awam di saat penularan wabak Covid-19 masih tidak mereda.

"Jumlah ini 23 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu RM46 juta," katanya.

Antara peruntukan yang diumumkan ialah:

  • Penambahbaikan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dengan peruntukan RM62 juta untuk 2021 untuk golongan ibu tunggal. Program itu menyediakan bantuan bulanan RM200 dengan penambahan 5,000 lagi penerima, kata Amirudin.
  • Bagi golongan warga emas, peruntukan RM27.5 juta disediakan untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2.0 yang memberi khairat kematian RM500 kepada waris yang berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), selain penerusan program Jom Shopping SMUE.
  • Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), peruntukan RM3.25 juta disediakan untuk program seperti pembelian peralatan sokongan, ubat dan nutrisi tambahan, terapi pemulihan, kursus latihan asuhan serta seminar kesedaran sokongan.
  • Program Food Bank Selangor diperluaskan dengan menyasarkan kanak-kanak berusia bawah enam tahun dari keluarga berpendapatan rendah bagi menangani masalah ketidakseimbangan zat, dengan peruntukan RM6 juta.
  • Peruntukan RM1.1 juta sebagai caruman majikan dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk 4,200 guru Kelas Asas Fardhu Ain (Kafa).
  • Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika berjumlah RM2 juta pada tahun depan bagi menampung peningkatan kos operasi susulan SOP Covid-19.
  • Penambahan sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Selangorku dengan nilai hartanah melebihi RM750 juta yang dijadual siap menjelang 2023.
  • Program ‘Bantuan Yuran Asas Universiti’ (Bayu) iaitu pelepasan bagi yuran asas khusus buat pelajar-pelajar Unisel dan Kuis pada tahun 2021 dengan peruntukan RM4 juta.
  • Inisiatif Selangor Kerjaya yang memadankan graduan TVET dengan bengkel automotif serta Selangor Freelancer bagi mereka yang memilih untuk bekerja sendiri dengan waktu lebih anjal.

Amiruddin berharap belanjawan Selangor 2021 dapat membantu rakyat bagi mendepani realiti baharu dalam pasaran dunia pasca Covid-19.

"Harapan dan semangat optimis yang diangkat melalui dokumen ini sewajarnya mampu menawarkan jalan keluar bagi menampan kesan kelembapan ekonomi dan dijangka mampu membina kecekalan rakyat dalam melalui hari-hari mendatang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS