Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga permintaan KKM jika pilihan raya tetap dilaksanakan

Ketidaktentuan politik dalam negara hari ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak akan berlakunya pilihan raya dalam tempoh terdekat, di saat negara masih bergelut menangani wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam ini, sebanyak 799 jangkitan baru telah dilaporkan.

Majoriti kes baru ini dilaporkan di Sabah yang baru mengadakan pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu. Negeri itu juga mencatatkan tiga kematian hari ini.

Mengulas soalan pemberita berhubung kemungkinan PRU diadakan dalam waktu terdekat, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang ia dijalankan di tengah-tengah penularan wabak.

Bagaimanapun, dia berkata sekiranya ia dilaksanakan, pihaknya hanya meminta tiga perkara diutamakan.

"Kita rasa sebaik-baiknya tangguhkan, kalau kita ada kuasa.

"Tetapi Kementerian Kesihatan tidak ada punca kuasa ataupun dapat menggunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) setakat ini....Kalau nak laksanakannya kita kena patuh kepada tiga prinsip.

"Iaitu tidak boleh merentas negeri atau sempadan negeri atau daerah, tiada kempen pilihan raya dan yang ketiga tiada lawatan rumah ke rumah," katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Susulan PRN Sabah pada 26 September dan dua minggu tempoh kempen sebelumnya, kes baru Covid-19 telah meningkat secara mendadak.

Selain Sabah yang menerima kesan terburuk, negeri dan wilayah persekutuan lain juga mencatatkan peningkatan kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu.

Noor Hisham kemudian ditanya sama ada Akta 342 boleh digunakan untuk menguatkuasakan tiga prinsip tersebut ketika pilihan raya.

Dia menjawab yang pihaknya sedang mengesyorkan akta itu dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

"Akta ini dirangka pada 1988, (ketika) kita tak jangka ia akan digunakan untuk pandemik. Akta ini untuk penyakit berjangkit.

"Ada keperluan untuk melihat pindaan dijalankan...Perlu rujuk kepada pihak Peguam Negara," katanya.

Katanya lagi, KKM telahpun menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk digunakan dalam pilihan raya di saat penularan Covid-19.

"Jika lihat SOP untuk pilihan raya memang ada di PRK Chini dan Slim.

"Kita juga telah siapkan SOP untuk PRN Sabah, tetapi isunya ialah ketidakpatuhan. Contohnya ada perhimpunan, kegiatan dari rumah ke rumah dan sebagainya.

"Sebaik-baiknya kita tangguhkan pilihan raya, tetapi KKM tiada kuasa (berkenaan perkara itu)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS