Malaysiakini
BERITA

Suspek lari lepas dibebaskan SPRM kini ditahan bawah Poca

Bernama

Diterbitkan

Seorang lelaki yang menjadi tumpuan ramai kerana melarikan diri daripada ditahan polis selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, 11 Okt lepas, kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian sebelum ini, disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Hari ini kami tahan suspek di bawah Poca dan permohonan reman Poca suspek akan dimohon esok di Mahkamah Kuala Lumpur bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Nik Ros Azhan berkata pihaknya akan memohon suspek direman di bawah POCA selama 21 hari.

Sebelum ini, suspek direman selama tiga hari dan reman suspek telah berakhir semalam.

Pada 13 Okt lepas, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan semula selepas dibebaskan SPRM.

Berikutan itu, pada 16 Okt lepas, polis mendedahkan butiran suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Suspek juga dikatakan menjadi koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China.

Pada 27 Okt, Bernama melaporkan polis telah menahan lelaki itu di sebuah hotel peranginan di luar Lembah Klang.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan